Zakaria Hussin, 57, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri yang baru bertekad memastikan Terengganu terus unggul dalam pendidikan dengan melahirkan modal insan cemerlang.
Beliau yang berasal dari Kampung Dusun Nyior, Kemaman itu yakin misi dan visi iaitu bagi mencorak masa depan anak bangsa dan negeri dapat dicapai dengan kerjasama serta sokongan padu seluruh warga pendidik di jabatan dan sekolah.
Katanya yang berkelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Matematik, hasrat itu diperkukuhkan lagi dengan komitmen kerajaan negeri sendiri melalui sokongan dan dokongan yang cukup kuat.
"Saya bersyukur atas bantuan kerajaan negeri selama ini dan sebagai Pengarah Pelajaran baru, saya sedar tanggungjawab besar ini dan saya pikul amanah ini sambil dibantu rakan-rakan lain.
"Walaupun cabaran ini besar tapi pada kesempatan sebegini, saya akan berusaha lebih baik lagi bagi meningkatkan tahap pencapaian dalam bidang pendidikan secara keseluruhannya," katanya baru-baru ini.
Zakaria turut memberi jaminan untuk merealisasikan gagasan Terengganu Negeri Anjung Ilmu yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang antara lain untuk memastikan negeri ini mendahului negeri lain dalam kecemerlangan pendidikan.
"Saya juga akan memimpin dasar pendidikan Terengganu dengan memperkasakan semangat dan budaya kerja berkonsepkan 'pendidik penyayang, murid berkualiti' bagi memacu kecemerlangan," ujarnya.
Zakaria yang menggantikan Razali Daud yang bersara pada 27 November tahun lalu memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Cukai, Kemaman dan menyambung pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cukai serta SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.
Beliau memulakan kerjaya perguruan di SMK Sungai Lembing, Kuantan; SMK Cukai dan SMK Air Putih.
Zakaria juga menjadi Pengetua Sekolah Menengah Teknik Kemaman dan seterusnya sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman sebelum dilantik sebagai Pengarah Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan pada Julai 2011.