Oleh: Kamarudin Mat Akib
Kerajaan sedia meminda akta berkaitan kewartawanan bagi memastikan bidang berkenaan di negara ini berkembang mengikut keperluan semasa.
Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak berkata, akta berkaitan perkara itu bukan perkara yang tidak boleh diusik , tetapi ia boleh dipinda mengikut perkembangan dan tuntutan globalisasi.
“Kerajaan tidak bercadang menjadikan golongan wartawan di negara ini ‘seperti katak di bawah tempurung, seballknya mereka akan diberi kebebasan untuk menulis asalkan tidak melampaui had yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur malam ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengemukakan rang undang-undang bagi meminda Akta Mesin dan Cetak pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berjalan sekarang bagi memberi ruang yang lebih luas kepada wartawan untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Beliau berharap para wartawan mengambil kesempatan peluang yang lebih luas diberikan kepada mereka oleh kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkn agar dapat memberi faedah kepada rakyat, negara dan kerajaan.
“Jika media sesebuah negara itu tidak memainkan peranan yang sepatutnya bagi menghayati denyut nadi dan keluh kesah rakyat, bermakna media itu tidak menjalankan tugas mereka untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, negara dan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus membiarkan media massa di negara ini menjadi imbang periksa kepada kerajaan dan menyalurkan pelbagai informasi kepada rakyat seluruh negara.