Halaman

28 March 2012

Sasar kelas maya di semua sekolah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mensasarkan semua sekolah di Terengganu melaksanakan konsep kelas maya menjelang 2015, sekali gus akan menjadikan negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri YB Ahmad Razif Abd Rahman berkata sasaran itu berdasarkan kejayaan yang dicapai menerusi projek perintis di tiga sekolah sebelum ini.

"Tahun ini kita akan melaksanakan kelas maya itu di 32 buah sekolah rendah terpilih dan dua sekolah menengah elit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu dan SMK Mak Lagam, Kemaman," katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin dapat melaksanakan kelas maya di semua sekolah rendah menjelang tahun depan, sebelum diteruskan di semua sekolah menengah.

“Berdasarkan pelaksanaan projek perintis di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong di Kemaman dan Sk Paya Bunga serta Sk Kompleks Seberang Takir pada awal tahun lepas, pelajar lebih teruja dan seronok berada dalam kelas maya berbanding dalam kelas biasa.
“Malah ada kes pelajar yang selalu ponteng berubah secara mendadak yang mana lebih rajin ke sekolah bagi mengikuti kelas maya,” katanya.

YB Ahmad Razif berkata kerajaan Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk menyediakan e-Book kepada murid yang akan dimanfaatkan untuk kelas maya.

“Saban tahun Terengganu membelanjakan RM300 juta untuk sektor pendidikan yang mana jumlah itu sama dengan peruntukan pengurusan bagi sesetengah negeri di negara ini, namun pelaburan besar tersebut perlu bagi menghasilkan anak negeri berkualiti, katanya.

"Biarlah mereka ini akan terus membangunkan Terengganu melalui kepakaran mereka dalam pelbagai bidang terutama perubatan, perakaunan, kejuruteraan dan ilmuan agama,” katanya.