Sikap disiplin serta berdikari 30 kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun telah mengangkat Tadika Kemas An-Nur, Kampung Raja, Besut muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012.
Kejuaraan itu berdasarkan kemenangan berganda yang diraih, tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan iaitu kebersihan dan kecerian luaran kelas, dalam kelas, dapur, landskap dan tandas.
Tadika An-Nur menjadi johan dalam kategori luaran kelas (RM800), kategori dapur (RM800) dan tempat kedua kategori dalam kelas (RM500) sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang keseluruhan berjumlah RM7,100.
Guru Tadika An-Nur, Puan Saedah Mohd, 56, berkata kejayaan ini hasil kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat sekeliling serta kanak-kanak yang sentiasa patuh pada jadual yang ditetapkan pihak tadika.
“Di samping jadual belajar setiap hari mereka ada tugas sampingan yang perlu dipatuhi melalui lima kumpulan yang dibentuk bagi mendidik mereka mempunyai rasa tanggung jawab menjaga kebersihan diri dan sekolah,” katanya ketika ditemui di menara YIT hari ini.
Menurut Puan Saedah yang pernah menerima anugerah Guru Inovatif Kemas Peringkat Kebangsaan pada 2007, kelasnya mula beroperasi pada 2003 dan pertama kali menyertai pertandingan.
“Kemenangan ini meningkatkan komitmen saya sebagai tenaga pengajar, ibu bapa dan masyarakat tempatan untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang khusus untuk generasi kecil ini menimba ilmu,” katanya.
Dalam perkembangan lain Tadika YIT Jalan Pusara menjadi naib juara keseluruhan setelah menang dua kategori yang dipertandingkan iaitu masing-masing tempat ketiga kategori luaran kelas dan dapur sekali gus membawa pulang hadiah wang berjumlah RM4,600.