Halaman

28 March 2012

PPD dekati penerima BR1M uzur

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu sampai kepada tangan penerima sendiri walaupun kesihatan mereka tidak mengizinkan, kata Pengerusi Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Sehubungan itu, sembilan daripada 592 penerima BR1M bagi fasa empat dan lima di DUN berkenaan didekati pemimpin itu di dalam kenderaan masing-masing berikutan halangan mereka untuk bersama-sama menerima di pusat pengagihan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak RM296,000 diperuntukkan untuk tujuan itu, di mana jumlah keseluruhan BR1M yang diagihkan di DUN berkenaan dijangka mencecah sehingga RM3 juta yang melibatkan kira-kira 6,000 penerima.

Haji Wan Mahyuddin berkata, hak penerima BR1M yang uzur terutama warga emas tidak dinafikan kerana sebagai rakyat Malaysia mereka berhak menikmati bantuan berjumlah RM500 seorang itu.

“Kita menyerahkan RM500 itu kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka, asalkan ia menepati syarat ditetapkan. Jika dalam keadaan uzur sekalipun kita perlu pastikan wang itu sampai ke tangan masing-masing.

“Bantuan itu diharap dapat meringankan bebanan mereka dan menceriakan golongan yang memerlukan,” katanya.