Halaman

20 March 2012

Pas punca pelajar ditarikbalik pinjaman

Oleh: Cicit Laksamana

Tindakan pemimpin Pas menghasut pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran di luar negara membenci kerajaan, menjadi punca sembilan pelajar yang sedang menuntut pelajaran di Mesir, ditarik balik pinjaman mereka.

Beberapa pemimpin Pas, termasuk Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, sering berulang-alik ke negara berkenaan, bagi meracuni pemikiran pelajar supaya membenci dan mengutuk kerajaan yang bertanggungjawab membiayai pengajian mereka.

Inilah sumbangan pemimpin Pas kepada pelajar yang bukan saja berada di Mesir, tetapi di negara-negara lain di Timur Tengah dan Eropah.

Mereka bukan membantu membiayai pengajian pelajar terbabit, tetapi menghasut dan meracuni pemilikiran mereka dengan fakta-fakta yang tidak betul bagi kepentingan politik agar pelajar benci kepada kerajaan.

Justeru bila sembilan pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Mesir ditarikbalik pinjaman pengajian mereka oleh Yayasan Terengganu (YT) kerana menyertai perhimpuan di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, bagi menyokong perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu, pemimpin Pas perlu dipertanggungjawabkan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tindakan itu dilakukan selepas YT tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

“Pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih..Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta.

“Pelajar berkenaan menyatakan mereka pergi (Perhimpunan Bersih) dan orang (penganjur) suruh pakai baju (perhimpunan haram Bersih) dan mereka pakai baju berkenaan,” kata beliau baru-baru ini.

Bayangkan, apa yang bakal berlaku kepada pelajar tersebut selepas pinjaman mereka ditarikbalik? Adakah pemimpin Pas akan tampil membela nasib mereka bagi memastikan pengajian pelajar berkenaan tidak tergendala.

Salah seorang daripada pelajar yang dikenakan tindakan berkenaan merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan di Mesir. Bagaimana nasib masa depan pelajar berkenaan dan rakan-rakan yang lain.

Mereka tidak sepatutnya terpengaruh dengan pemimpin Pas yang menghasut mereka membenci kerajaan, sebaliknya berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membela nasib mereka selama ini.Isu ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada pelajar lain yang selama ini terikut-ikut dengan segelintir rakan mereka yang begitu taksub dengan pemimpin Pas, hinggakan terlupa ‘tangan yang menyuap mereka makan’.