Halaman

24 March 2012

Keputusan Shahrizat kekal pimpin Wanita perkukuhkan jentera parti




Laporan dan gambar dari PWTC
Oleh: Mohammad Ishak


Kecelaruan ahli Pergerakan Wanita Umno sejak kebelakangan ini terhadap siapa bakal memimpin sayap kanan pari itu akhirnya terjawab apabila ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal menerajui perti itu.

Kehadiran lebih 8,000 ahli pergerakan Wanita Umno dari seluruh negara di PWTC Kuala Lumpur semalam membuktikan kesetiaan wanita terhadap pemimpin mereka dan ini terbukti dengan laungan bersemangat ahli yang hadir untuk member sokongan kepada Shahrizat.

Dewan perhimpunan di PWTC penuh sesak dengan kehadiran ahli parti sehingga pentas utama yang menempatkan pemimpin Umno turut dijadikan tempat duduk kepada ahli pergerakan itu.

Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menjelaskan kedudukan Ketua Wanita Umno itu selepas berucap pada majlis Perhimpunan Wanita Umno Bersama Presiden Umno mahu jentera wanita diperkukuhkan lagi.

Katanya, Shahrizat yang dipilih oleh 1.3 juta ahli Wanita Umno dari seluruh negara perlu meneruskan memimpin pergerakan itu terutama bagi membantu Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang.

Semangat kerjasama dan sokongan padu seluruh jentera wanita terhadap pemimpin mereka jelas terbukti pada perhimpunan itu apabila mereka berikrar memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Shahrizat.

Shahrizat yang kelihatan terharu ketika mula memasuki dewan menerima tepukan gemuruh dari seluruh ahli pergerakan itu dan dalam nada hiba beliau mengucapkan terima kasih kepada wanita kerana terus memberi sokongan kepadanya.

Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Besut,Zainon Latif ketika ditemui pada majlis itu berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana jentera wanita kini semakin kukuh dan ahli akan terus bekerja membantu parti.

Katanya, beliau bersama ahli wanita dari Terengganu datang untuk memberi sokongan dan semangat kepada pemimpin wanita supaya mereka dapat meneruskan agenda parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.