Gambar oleh Zulkipli Putra
Setiap tahun peruntukan yang besar disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk golongan remaja, termasuk bagi membiayai program dan pelbagai kemudahan asas, bagi membolehkan mereka beriadah dan melakukan kegiatan berfaedah.
Tidak kurang daripada RM30 juta disediakan kerajaan negeri pada setiap tahun kepada golongan belia bagi tujuan berkenaan.
Bantuan kewangan disalurkan kerajaan negeri kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan belia dan remaja, seperti Persatuan Belia 4B, MAYC dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Peruntukan yang besar juga disediakan kerajaan kepada belia berusia antara 18 hingga 40 tahun pada setiap tahun untuk membiayai Dana Remaja di mana mereka yang belum berkahwin menerima RM200 seorang.
Kira-kira 85,000 belia di seluruh Terengganu dijangka menerima Dana Remaja pada awal bulan depan melibatkan peruntukan RM17 juta.
Tahun lalu, seramai 83,197 belia diberi bantuan tersebut dengan peruntukan RM16.6 juta.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sering mengingatkan golongan belia agar ‘meminta kepada yang kasih dan bermanja pada yang sayang’.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.
Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.
Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.