Halaman

18 March 2012

Pinjaman pelajar sertai perhimpunan haram ditarik balik

Oleh: Aida Abd Rahman

Pinjaman pelajaran enam pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang menyertai perhimpuan di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, bagi menyokong perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu, ditarikbalik berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

“Pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih..Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta.

“Pelajar berkenaan menyatakan mereka pergi (Perhimpunan Bersih) dan orang (penganjur) suruh pakai baju (perhimpunan haram Bersih) dan mereka pakai baju berkenaan,” katanya ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Menteri Besar menjelaskan seorang daripada pelajar yang dikenakan tindakan berkenaan merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan di Mesir.

Dalam satu laporan sebelum ini, YT akan menarik balik biasiswa enam penuntut tajaannya yang dikesan berhimpun di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, untuk menyatakan sokongan padu terhadap perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dan meminta menunjukkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebagai memberi peluang membela diri.

Katanya, kerajaan negeri melalui YT menaja mereka supaya belajar dan bukan bertujuan bermain politik dan berdemontrasi. Lima hingga enam orang sudah dikenalpasti melalui gambar, mereka memakai baju kuning tertera Bersih .