Halaman

19 March 2012

Semua rakyat, wakil rakyat ada hak dapat tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terbaru Pesuruhjaya Pas negeri, Haji Abdul Wahid Endut bahawa pembangkang mempunyai bukti pemberian tanah kepada wakil rakyat.

Haji Mohd Abdul Wahid dalam sidang media sebelum itu, mendakwa kerajaan negeri mengurniakan tanah sebagai `habuan’ kepada wakil rakyat yang nama mereka tidak tersenarai untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Biar dia dedahlah…kita tiada masalah, kita sudah nyatakan bahawa wakil rakyat juga boleh memohon tanah macam rakyat biasa. Bukan tiada (wakil rakyat mendapat tanah), tetapi mesti ikut peraturan.

“Kita tiada masalah. Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,” katanya ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (18 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Katanya, wakil rakyat berkenaan berhak memiliki tanah berkenaan sebagaimana rakyat lain menerusi mesyuarat dan prosedur yang perlu termasuk mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan Galian.

Malah, beliau menegaskan pemimpin Pas itu seakan tidak memahami dasar kerajaan yang memberi tanah kepada rakyat yang berusia 18 tahun ke atas termasuk 32 wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri) di setiap kawasan sebagai tanah anugerah.

“Bukan kita beri 20 ekar seorang kepada semua wakil rakyat. Di Johor pegawai tadbir dapat 10 ekar tanah. Dua..satu tapak rumah, satu tapak pertanian. Di Terengganu kita bagi dua hektar sahaja tapak pertanian. Pegawai tadbir pun dapat, wakil rakyat pun dapat kita bagi..tidak salah jika memenuhi syarat.

“Sudah beratus ribu kita luluskan tanah haram dalam tempoh empat tahun. Dalam tempoh tiga tahun kita selesaikan 9,000 kes tanah. Tapak rumah berapa ribu lot kita buat, tiada masalah. Mereka (Haji Abdul Wahid) sengaja hendak buat isu supaya rakyat marah kepada kerajaan,” katanya.