Halaman

24 March 2012

MPPP agih bantuan peladang

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Terengganu memperuntukan RM100,000 bagi melaksanakan dua projek kecil pertanian dan ladang pertanian disetiap parlimen.

Urusetia MPPP negeri, Encik Mohd Zulkifli Junid berkata, peserta yang terpilih akan menerima bantuan berupa bahan dan peralatan mengikut projek yang dipilih dan bukan dalam bentuk kewangan.

“Mereka yang terpilih menerima bantuan merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di samping mempunyai pengalaman luas dalam bidang yang diceburi serta sudah lama mengusahakan projek pertanian ,” katanya di majlis penyampaian peruntukan MPPP di Balai Bestari Batu Rakit baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan seramai 95 peladang di bawah pengurusan PPK Maras/Batu Rakit menerima bantuan pertanian termasuklah menjalankan projek nanas (50 orang), projek tembikai (30 orang) manakala 10 orang menerima anak kelapa sawit serta lima lagi menjalankan projek fertigasi melon.

“Semua peserta yang terpilih diminta tidak mensia-siakan bantuan yang diberi kerajaan serta bersungguh-sungguh menjalankan projek agar mendapat pulangan lumayan,” katanya.

Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee telah menyampaikan bantuan berkenaan kepada semua peladang terbabit.