Gambar oleh Zulkipli Putra
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad terharu kerana Terengganu berjaya memecahkan rekod tempoh empat tahun sekaligus terus mengekalkan kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.
“Pihaknya bangga kerana bukan saja Gred Purata Nasional (GPN) meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 malah mengatasi GPN yang disasarkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 5.04.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, Terengganu mampu menghasilkan lebih daripada 10 orang calon kategori Gred Cemerlang Tertinggi (A+) ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Katanya, daripada 22,702 calon yang mengambil SPM, seramai 19,755 orang (94.32 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 20,348 orang (94.61 peratus) pada 2010.
“Daripada jumlah itu, seramai 15 calon sekolah KPM (0.06 peratus) berjaya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 17 calon (0.08 peratus) yang mendapat keputusan itu pada 2010,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri ada menghantar guru sekolah rendah dan menengah ke luar negara seperti Korea Selantan dan Australia sebagai menghargai jasa dan keringat meningkatkan prestasi pembelajaran murid.
“Mereka yang mengikuti lawatan itu bukan saja boleh mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah malah mengetahui bagaimana situasi dan kaedah pembelajaran yang dilaksanakan di negara itu.
“Program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu',” katanya.