Halaman

24 March 2012

Pelaburan besar berhasil

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pelaburan besar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di bidang pendidikan, menampakkan hasil positif apabila kejayaan negeri ini mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sekaligus mencatatkan nama Terengganu dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Turut dicatat dalam MBOR ialah kejayaan Kerajaan Terengganu melaksanaan Program e-Book di mana kemudahan berkenaan diagih secara percuma kepada semua murid Tahun Empat hingga Tahun Enam mulai 2009, membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Dua berita itu yang amat menggembirakan seluruh warga pendidikan dan rakyat negeri ini, disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Pelajaran, pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-Guru di Stadium Negeri, baru-baru ini.

Sewaktu mengulas kejayaan itu, Menteri Besar berkata, pengiktirafan tersebut menguatkan semangat beliau dan saf kepimpinan negeri serta warga pendidik untuk terus mengekalkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

“Semua kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil usaha semua pihak terutama pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

“Pada masa akan datang, kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan lagi penggunaan Kelas Maya di semua sekolah seluruh negeri ini supaya turut diiktiraf dalam MBOR ,” katanya.

Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi kepada sektor pendidikan. Buktinya, bagi Bajet 2012, sejumlah RM60.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program dalam sektor tersebut.

Kejayaan besar yang diraih negeri ini di bidang pendidikan dengan mengungguli keputusan semua peperiksaan utama baik di peringkat sekolah rendah, mahu pun sekolah menengah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan banyak negeri lain menjadi cemburu.

Justeru itu, pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran dari beberapa negeri lain dihantar ke Terengganu untuk ‘berguru’ dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, khusus bagi membolehkan mereka turut meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri masing-masing.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencapai kejayaan tersebut dan kejayaan demi kejayaan yang dicapai Negeri Terengganu bukannya datang secara bergolek.

Mengambil iktibar pepatah lama yang menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kerajaan negeri menyediakan kemudahan pembelajaran dan mendidik anak-anak tempatan, sejak dari peringkat pra-sekolah lagi.

Seawal pemerintahannya, Menteri Besar memperkenalkan Program Terengganu Briliant Kids (TB-Kids) yang kini diperluaskan di hampir semua tabika di negeri ini di mana ia memberi manfaat kepada kanak-kanak, terutama mereka yang tidak mampu menumpukan perhatian dalam tempoh yang lama terhadap buku mata pelajaran.


Pembelajaran menggunakan kecanggihan bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) itu mampu menggandakan daya ingatan kanak-kanak berbanding menghafal dan membaca buku.

Program tersebut yang mempunyai enam subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Moral dan Jawi turut mendapat pujian para pendidik di dalam dan luar negara.

Hasil kerajaan negeri meperkenalkan Program Pintar al-Quran dan Kelas Fardu Ain (Kafa), hampir 30,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun, berjaya khatam al-Quran pada tahun lalu.

Dijangka lebih 30,000 kanak-kanak dalam lingkungan usia sama yang sedang mengikuti kelas tadika Yayasan Islam Terengganu, Kemas, pra-sekolah Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Perpaduan, mengikut jejak langkah rakan-rakan mereka pada tahun ini.

Sejak program e-Book diperkenalkan, 92,788 murid telah menerima kemudahan tersebut dan pada masa yang sama tiga sekolah rendah – SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Telok Kalong – dipilih menyertai Kelas Maya (Virtual Class).

Sesungguhnya, Terengganu sentiasa dahagakan kejayaan dan lebih banyak lagi kejayaan di bidang pelajaran dan bidang-bidang lain bakal dicipta di masa depan jika kesinambungan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dikekalkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.