Halaman

19 March 2012

Nurussyahamah rangkul juara rancangan Adik-adikku musim ke-3

Oleh: Suriati Ali

Kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 13, yang berjaya merangkul juara dalam rancangan Adik-adikku musim ke-3 di TV1, malam tadi, membanggakan rakyat Terengganu terutama ibu bapa peserta cilik itu.

Adik Nurussyahamah yang berasal dari Kampung Alur Keladi, Hulu Besut, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah untuk dua orang, hadiah iringan, trofi dan sijil penyertaan.

Persembahan yang cukup menyakinkan itu membolehkan Adik Nurussyahamah berjaya mengalahkan empat peserta lain dalam pertandingan akhir itu.

Sebelum ini anak kepada pasangan Nurunnajmi Yaacob, 40, dan Sauzan Ibrahim, 39 pernah mengharumkan nama negara dan Terengganu dalam beberapa kejohanan dan pertandingan yang disertai.

Walaupun masih mentah, beliau mampu mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, pada 26 Ogos tahun lalu dan layak menduduki tempat ketiga.

Beliau juga pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.