Halaman

22 March 2012

Jangan maki, herdik pemain kita – Presiden PBSNT

Oleh FAUZI MOHD

Kekalahan 0-2 Terengganu kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC pada saingan Piala AFC 2012 kelmarin, ada sedikit teguran yang mahu disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh kepada para penyokong skuad Penyu itu.

Kata beliau, jadilah penyokong yang berjiwa sukan dan bukan hanya tahu memaki dan mengherdik para pemain apabila pasukan tewas.

Teguran itu dibuat ekoran sikap segelintir penyokong yang memaki para pemain Terengganu dengan kata-kata kesat sejurus perlawanan menentang Kitchee FC berakhir.

“Saya sendiri tidak faham apa tujuan mereka ke stadium. Saya tidak kisah kalau persatuan dikritik tetapi janganlah jatuhkan semangat pemain-pemain saya dengan kata-kata yang tidak membina,” katanya semalam.

Lebih memburukkan keadaan, Dato’ Che Mat mengakui kumpulan kecil penyokong itu seperti sengaja membuat hal di stadium terutamanya pada masa rehat mahupun selepas perlawanan berakhir.

“Pemain bukan hanya dimaki ketika dalam permainan, tetapi sepanjang mereka memasuki bilik persalinan, ada juga suara-suara sumbang yang menjatuhkan maruah pemain.

“Saya sangat kecewa dengan situasi ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan fokus para pemain, tetapi juga menganggu penonton-penonton lain,” katanya.

Terdahulu, Terengganu gagal meraih tiga mata penuh apabila tewas kepada lawan dari Hong Kong itu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris kini menghuni kedudukan kedua Kumpulan F, ketinggalan tiga mata di belakang Kitchee FC.

“Apapun, saya berbangga dengan keseluruhan penyokong kita yang telah memberi kerjasama sepanjang perlawanan berlangsung.

“Mereka mengikut peraturan yang ditetapkan dan sentiasa mematuhi arahan-arahan daripada pihak berkuasa seperti Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan polis,” tambahnya.