Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Alor Lik di Setiu dan masjid itu kemudian secara rasmi diberi nama Masjid Al-Firdaus.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Seri Temenggung, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris.
Baginda kemudian turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan sebelum menghadiri majlis santapan diraja yang turut dihadiri para jemaah dan penduduk sekitar.
Sultan Mizan dalam titah ucapan sebelum itu menyeru umat Islam agar mengamalkan hidup bersaudara sebagaimana dituntut agama.
Sehubungan itu, titah baginda jawatankuasa masjid seluruh negeri perlu memainkan perananan dalam memperkukuhkan persaudaraan di kalangan umat Islam.
"Masjid hendaklah dijadikan sebagai tempat masyarakat memupuk persaudaraan dan mendalami ilmu agama," titah baginda pada majlis itu semalam.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan tauliah kepada pendaftar, jurunikah serta imam masjid mukim bagi Daerah Setiu.
Masjid Al-Firdaus mula dibina pada 2008 dan mula diguna pakai pada 2010 menelan kos RM1.8 juta dan ia mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.