Halaman

21 March 2012

SPM rekod terbaik tempoh empat tahun

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu terus mengungguli kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila merekodkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN), pencapaian keputusan Gred Cemerlang dan Minimum C berbanding pencapaian pada 2010.

Malah, keputusan itu turut mencatat rekod terbaik dalam tempoh empat tahun yang mana GPN meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 serta mengatasi Gred Purata Nasional (5.04).

Timbalan Pengarah Jabatan pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata Pencapaian calon pada kali ini juga bertambah dari segi kualiti dan kuantiti.

Katanya, seramai 408 calon sekolah Kementerian pelajaran Malaysia (KPM) (1.95 peratus) berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A,A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 405 calon (1.88 peratus) pada 2010, iaitu peningkatan tiga calon atau 0.07 peratus.

“Peningkatan GPN disebabkan penumpuan calon terhadap mata pelajaran yang diambil selepas Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum Sepuluh (10) Mata Pelajaran dan Penambahan Dua (2) Mata Pelajaran Tambahan dalam SPM yang bemula 2010.

“Dasar itu berjaya memberi peluang murid untuk lebih fokus dalam pelajaran dan pembelajaran serta membina potensi diri mengikut jurusan yang dipilh secara intensif dan komprehensif. Ini terbukti dalam keputusan SPM 2011 yang mana pencapaian calon menunjukkan peningkatan amat baik,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2011 di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, bilangan calon yang berjaya memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian atau C bagi semua mata pelajaran yang diambil juga menunjukkan peningkatan apabila seramai 66 calon (0.76 peratus), iaitu 3,598 calon (17.14 peratus) pada 2011 berbanding 3,523 calon (16.38 peratus pada 2010.

Beliau berkata, daripada 22,702 calon yang mengambil SPM, seramai 19,755 orang (94.32 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 20,348 orang (94.61 peratus) pada 2010.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, Terengganu mampu menghasilkan lebih daripada 10 orang calon kategori Gred Cemerlang Tertinggi (A+) ini. Seramai 15 calon sekolah KPM (0.06 peratus) berjaya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 17 calon (0.08 peratus) yang mendapat keputusan itu pada 2010.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan calon Gred Cemerlang Tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral yang tinggi daripada semua pihak,”katanya.