Halaman

21 March 2012

Kejohanan Sukan Bersama Media, UniSZA rapat silaturahim

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejohanan Sukan Bersama Media 2012 anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang melibatkan pasukan pusat pengajian tinggi itu dengan petugas media cetak dan massa di negeri ini yang bernaung di bawah Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) berjaya merapatkan silaturahim antara dua pihak.

Ketua Unit Komunikasi Korporat UniSZA, Cik Nurhana Ghazali, program yang diadakan itu bukan untuk menentukan siapa menang atau kalah, sebaliknya yang lebih utama memupuk gaya hidup sihat, cerdas selain menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

“Melihat kepada sambutan dan penglibatan daripada semua peserta sepanjang kejohanan tiga hari itu kami berhasrat bagi meneruskan pengajuran program seumpama ini pada masa depan dengan melibatkan lebih banyak acara,” katanya.

Sementara itu, program julung kali dianjurkan UniSZA selama tiga hari itu melibatkan acara badminton, futsal, bola sepak dan tenpin boling bermula 16 Mac ternyata berpihak kepada tuan rumah apabila mengungguli empat acara utama yang dipertandingkan, manakala Kawat muncul naib juara.

Melalui acara pertama yang dipertandingkan, pasukan badminton tuan rumah, UniSZA berjaya menewaskan Kawat dengan agregat 5-2 melalui kemenangan tiga beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dalam perlawanan di Gimnasium UniSZA, Kampus Gong Badak itu.

Kawat pula berjaya mengutip dua mata melalui beregu wanita dan campuran menerusi Lew I- ling, Nur Fazlizai Ali, Aswadi Alias serta Nurul Huda Husain.

Dalam pada itu, pada perlawanan futsal di Gelanggang Futsal, UniSZA, pasukan Kawat terpaksa akur dengan kehebatan UniSZA apabila tewas dengan jaringan 2-6.

UniSZA turut melakar kemenangan dalam perlawanan bola sepak yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga dengan mata 3-1.

Sementara itu, kemuncak kejohanan melalui acara tenpin boling di Terengganu Equesterian Resort apabila pasukan UniSZA yang menurunkan pemain utama mereka berjaya memungut jatuhan pin 1,720 untuk menjuarai acara itu, manakala naib johan milik Kawat dengan 1,615 jatuhan pin.

Pasukan Kawat diwakili Zainuddin Muhamad, Nik Faridzal Nik Jaafar, Abd Rahim Daud dan Aida Abd Rahman.