Gambar oleh Zulkipli Putra.
Kegembiraan berganda buat pasangan suami isteri yang juga pendidik dari Taman Permint Jaya, Chendering apabila anak kedua mereka Fatin Amalia Ibrahim, 18, muncul calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 terbaik seluruh Terengganu selepas memperolehi keputusan cemerlang 11A+ dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.
Sebelum ini, Mahani Yaacob dan suaminya, Ibrahim Mohamad 49, masing-masing guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serating dan SMK Sultan Sulaiman mendapat cahaya mata ke tujuh, Mohd Iman Nuruddin yang juga zuriat lelaki pertama berusia 41 hari.
Fatin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu memperolehi 7A+, 2A dan 2A- pada peperiksaan percubaan SPM tidak menduga akan dinobatkan selaku pelajar terbaik seluruh negeri dalam peperiksaan kali ini.
“Dorongan kuat keluarga khususnya ibu bapa dan kakak sulung, Nurul Asyiqin, 19, yang kini menuntut di Jordan dalam bidang perubatan merupakan penyuntik semangat buat saya belajar dengan tekun dan fokus terhadap pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima keputusan itu di sekolahnya, hari ini.
Katanya, buku nota mini turut menjadi teman setianya sepanjang masa sebagai bahan rujukan bagi mengingati dan menghafaz setiap fakta penting sebagai persediaan menduduki peperiksaan.
Selain itu, dia juga sering berinteraksi dengan kakaknya yang menuntut di luar negara menerusi `skype’ bagi mendapatkan pandangan dan berbincang mengenai pelajaran, selain perbualan dengan saudaranya itu menjadi perangsang untuknya menempuhi peperiksaan SPM dengan tenang.
“Saya bercita-cita mahu menjadi doktor pakar kanak-kanak dan melanjutkan pelajaran di luar negara dalam jurusan itu, seterusnya dapat mencapai impian membuka klinik bersama kakak yang juga `teman baik’ saya sendiri pada suatu masa nanti.
“Kami mahu berkhidmat kepada masyarakat dan memberi perkhidmatan terbaik dalam sektor kesihatan di negeri Terengganu kelak,” katanya.
Menurutnya, pelbagai nilai tambah dan kemudahan disediakan kerajaan negeri, seperti e-Book dan juga ganjaran kepada pelajar terbaik di seluruh negeri turut menyumbang kepada kecemerlangan sektor pendidikan di Terengganu.
