Halaman

24 March 2012

Mulut pemimpin Pas kini ‘dikunci’

INIKAH PERJUANGAN PAS!!!...gabungan pembangkang Pas sudah hilang bisa apabila pemimpin parti itu tidak lagi memainkan peranan yang tegas dalam memperjuangkan dasar menegakkan agama Islam.

Oleh: Wartawan Teganukita

Mulut pemimpin Pas kini ‘dikunci’ setelah parti itu menyertai gabungan parti pembangkang yang turut melibatkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Disebabkan pergabungan itu, pemimpin Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, sendiri tidak mampu menegur atau mengulas sesuatu isu yang melibatkan pemimpin DAP dan PKR, walaupun mereka sedar kenyataan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Badan Perhubungan Umno Negeri, Ustaz Muhammad Ramli Nuh, berkata Pas boleh menjadi parti yang lebih hebat dalam memperjuangkan pendiriannya jika tidak bergabung dengan DAP dan PKR.

Bagaimanpun, sejak menyertai gabungan pembangkang Pas sudah hilang bisa apabila pemimpin parti itu tidak lagi memainkan peranan yang tegas dalam memperjuangkan dasar menegakkan agama Islam.

Beliau berkata, keadaan itu boleh dilihat dengan jelas berhubung isu Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan kontroversi apabila menyokong keselamatan Israel.

Ustaz Muhammad Ramli berkata, jika Pas bergerak secara bersendirian seperti sebelum ini, sudah pasti pemimpinnya, terutama Abdul Hadi akan mengkritik secara habis-habisan berhubung soal itu kerana ia ternyata bercanggah dengan kehendak Islam.

“Bagaimanapun, disebabkan bergabung dengan DAP dan PKR mereka (pemimpin Pas) tidak mampu mengeluarkan kenyatan yang menghentam Anwar,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Pas bergabung dengan DAP dan PKR adalah kesilapan besar yang dilakukan parti itu dan menyebabkan semakin ramai penyokongnya kini menjauhkan diri daripada Pas.

“Dalam hal ini, rakyat perlu menilai keikhlasan dan hala tuju Pas yang semakin jauh terpesong dari matlamat asal penubuhan parti itu.

“Jika ada lagi yang menyokong Pas, saya harap mereka kembali ke pangkal jalan dan usah lagi menyokong parti itu yang sudah tersasar daripada matlamat memperjuangan agama Islam,” katanya.