Halaman

19 March 2012

NCWO anjur kempen anti pemedagangan orang

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Kebangsaan Pertubuhan- pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) akan terus mempergiatkan kempen kesedaran Anti Pemedagangan Orang dan Anti Penyeludupaan Migran dalam usaha membantu kerajaan menangani isu berkenaan.

Naib Pengerusi NCWO Wilayah Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) Senator Dato’ Maznah Mazlan berkata, NCWO memandang berat isu berkenaan dan ianya wajar dibanteras habis-habisan.

Katanya, masyarakat perlu diberi kesedaran untuk memberikan maklumat atau melaporkan jika mengetahui ada kegiatan mengeksplotasikan manusia di kawasan mereka.

``Ini kerana pemedagangan orang bukan hanya kepada aktiviti pelacuran sahaja, tetapi juga kepada perhambaan, mengemis dan mencuri organ,’’ katanya selepas menghadiri mesyuarat Pelancaran Kempen Anti Pemedagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, petang semalam.

Mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri yang dihadiri ketua-ketua jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) itu di adakan di Wisma Darul Iman dan di pengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamed,

Senator Dato’ Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kempen tersebut mula dilancarkan oleh NCWO pada akhir tahun 2010 dan sehingga kini beberapa negeri telah melaksanakannya termasuk Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak.

Menurutnya, kempen peringkat Zon Timur akan diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man pada 29 Mac ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, melalui kempen tersebut diharapkan kesedaran dapat ditingkatkan terutama kepada orang awam untuk sama-sama membantu agensi kerajaan seperti Polis, Imigresen, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja dalam menangani isu berkenaan.