Pergerakan Pemuda Umno kini sedang giat menggempur seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat sambil menyakinkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.
Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin, berkata pihaknya giat mengatur gerak kerja mengikut peti undi dengan bantuan ketua-ketua bahagian setiap kawasan.
“Kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi keraba mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.
“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya kepada Teganukita
Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.
“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa.
“Selaku sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apa pun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.
Bekas Adun Bandar, Dato’ Wong Foon Meng, pula berkata sokongan masyarakat Cina terhadap BN semakin meningkat berikutan kesungguhan pemimpin negeri, khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin Pusat, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, turun padang untuk meninjau masalah rakyat.
Beliau berkata, pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan kerajaan negeri berjaya menyelami masalah peringkat akar umbi dan tindakan segera diambil bagi menyelesaikannya, berjaya meraih sokongan rakyat.
“Sedangkan pihak pembangkang dari dulu sampai sekarang hanya pandai berjanji, tetapi tidak menunaikan janji. Rakyat Terengganu boleh menilai sendiri apa yang berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh pembangkang kerana mereka sendiri pernah merasai peritnya berada di bawah pemerintahan Pas,” katanya.