Halaman

20 March 2012

E-Book bantu hadapi cabaran globalisasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha membekalkan e-Book kepada setiap murid sekolah rendah bermula Tahun Empat di seluruh Terengganu adalah bagi mendepani cabaran dunia globalisasi yang memerlukan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri sudah membekalkan sebanyak 92,326 unit e-Book kepada setiap murid seluruh Terengganu dalam tempoh tiga tahun sehingga 2011.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata kemudahan pembelajaran itu akan diagihkan kira-kira 23,000 unit lagi pada tahun ini yang mana menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 115,326 unit dalam tempoh empat tahun.

“Jadi program e-Book yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2009 kepada anak-anak kita merupakan sebahagian daripada usaha untuk berdepan dengan zaman akan datang..di mana maklumat berada di hujung jari sama ada menerusi e-Book, laptop dan telefon bimbit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri juga berhasrat untuk memastikan penduduk negeri ini bukan sekadar menjadi pengguna biasa kepada alat telekomunikasi berkenaan , tetapi mampu menambah baik serta memasukkan pelbagai perisian yang dapat melancarkan setiap tugasan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana tiada negeri lain yang membekalkan komputer riba (e-Book) secara percuma kepada rakyatnya yang melibatkan peruntukan yang besar.

“Bukan murid-murid sahaja mendapat kemudahan itu, guru-guru turut menerima manfaat di mana sebanyak 4,100 unit laptop disediakan kepada guru pada tahun lepas dan difahamkan sebanyak 3,100 unit lagi akan dibekalkan kepada guru pada tahun ini,” katanya.