Halaman

19 March 2012

PPD dilantik bela kebajikan penduduk kawasan pembangkang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melantik Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (PPD) bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan yang dimenangi Pas tetap terbela dan mendapat perkhidmatan terbaik.

Sehubungan itu, lapan DUN yang dikuasai pembangkang mempunyai PPD masing-masing iaitu Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Ladang); Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Buruk); Datuk Rosli Mat Hassan (Sura); Encik Yusof Awang Hitam (Manir); Haji Ismail Nik (Bukit Tunggal); Haji Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah di DUN Wakaf Mempelam, diberi tugas memikul tanggungjawab itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata Kerajaan BN mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan melantik PPD berkenaan, bagaimanapun ada segelintir rakyat tidak menghargai setiap pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan itu.

“Sebab itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno melantik Pegawai Pembangunan DUN bagi menjaga kebajikan penduduk termasuk di DUN Wakaf Mempelam.

“Kalau kita hendak biarkan, kita biar begitu sahaja tanpa perlu melantik PP DUN. Bagaimanapun, kita mengambil tanggungjawab itu,” katanya sebagai mengulas pelbagai kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri di DUN Wakaf Mempelam termasuk usaha membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan DUN Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (18 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan PPD Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin.

Menurutnya, bagi memastikan segala agenda pembangunan lancar, penduduk sepatutnya tidak lagi menyokong kepimpinan pembangkang yang terbukti gagal menjaga kebajikan penduduk walaupun sekian lama menguasai satu kawasan, sepertimana Pas yang sudah 33 tahun memenangi DUN Wakaf Mempelam.

Katanya, penduduk di kawasan yang dimenangi pembangkang perlu menilai semula bahawa segala pembangunan dan prasarana yang tersedia dan bakal dilaksanakan hanya mampu dibangunkan kerajaan BN.

“Saya tawarkan dahulu 1,000 unit rumah (mampu milik)..Lepas itu kita tengok macam mana, biar (BN) menang dulu. DUN ini sudah 33 tahun kalah. Kalau tidak mahu berubah, tidak akan berubah. Terpulang kepada orang di DUN Wakaf Mempelam untuk menentukannya.

“Setakat ini, apa yang wakil rakyat Pas ( Haji Abdul Wahid Endut) beri. Ada Abdul Wahid Endut dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk dibawa (pembangunan) ke kampung.. kawasan dia? Apa yang dia dapat..hanya elaun sahaja.. Ahli Parlimen lagi..Adun lagi,” katanya.

Beliau berkata, permintaan bagi membangunkan 2,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu hanya akan dilaksanakan sekiranya BN kembali memenangi kawasan itu pada PRU Ke-13 nanti.