Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta pemimpin parti pembangkang berhenti dari bermain politik kotor termasuk menghasut pelajar di luar negara supaya membenci kerajaan.
“Merekalah pengkhianat sebenar kerana telah meracuni pemikiran anak-anak kita yang berada di luar negara dengan memberi gambaran buruk tentang kerajaan,” katanya di majlis penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal petang semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Pengawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.
Katanya, pemimpin pembangkang lebih mementingkan agenda politik mereka daripada memikirkan masa depan generasi muda yang semakin mencabar dalam dunia tanpa sempadan.
“Kerajaan keluar belanja ratusan juta untuk membiayai pelajaran mereka di luar negara, dengan harapan bila tamat pengajian dapat merubah kehidupan keluarga dan berbakti kepada negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sedih bila ada segelintir pelajar terpengaruh dengan hasutan pemimpin pembangkang malah secara terang-terangan menzahirkan protes kepada kerajaan seperti yang berlaku di Mesir tahun lalu.
Katanya, kerajaan belanja RM25 juta setahun untuk e-Book, ini tidak termasuk bantuan lain seperti ‘one off’ kepada pelajar yang dapat masuk universiti, pelajar cemerlang yang berjumlah RM350 juta setakat ini.
“Kerajaan BN sanggup melakukan apa saja untuk memastikan generasi pelajar terus mencipta kejayaan dalam pelajaran yang akan mengembirakan banyak orang termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat keliling,” katanya.