Muzium Terengganu akan menganjurkan Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Dewan Batu Bersurat di kompleks muzium berkenaan di Losong, Kuala Terengganu bermula 25 hingga 26 Mac ini.
Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, seminar dua hari bertemakan ‘Lambang Kehebatan Kita’ itu bakal menarik penyertaan kira-kira 150 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan penyelidik persendirian.
Katanya, seminar kali keempat itu akan membentangkan kajian dan penyelidikan yang dilakukan terhadap Batu Bersurat Terengganu.
“Seminar ini akan menjalankan kajian seterusnya berkenaan asal usul batu tersebut dan membuat perbandingan Batu Bersurat dari seluruh Nusantara.
“Disamping itu, peserta akan dibawa mengkaji Batu Bersurat Terengganu dari pelbagai sudut dan teknik pembuatannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seminar itu menggabungkan 11 penyelidik dan cendikiawan tempatan termasuk Prof. Emeritus Dato’ Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (Universiti Putra Malaysia) dan Dr. Rahimin Abd. Rahim (Universiti Malaya).
Selain itu kata Mohd. Yusof, tokoh akademik tempatan dan luar negara turut dijemput bagi mengupas isu Batu Bersurat Terengganu dari pelbagai sudut dan merungkai sebanyak mungkin maklumat yang boleh dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh, dijangka merasmikan seminar tersebut.