Halaman

23 March 2012

60 kanak-kanak kelas Tabika Perpaduan diraikan

Oleh: Mohammad Ishak




Seramai 60 kanak-kanak dari Kelas Tabika Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PNIN) daerah Besut diraikan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Jertih semalam.

Kanak-kanak terbabit mewakili kelas tabika, Bandar Jertih, Alur Lintang dan Kuala Besut, diraikan sebahagian usaha pihak pengurusan kelas berkenan untuk memberi pendedahan kepada suasana luaran daripada tempat belajar.

Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmood berkata, program yang dikendalikan sendiri oleh jawatankuasa kelas terbabit satu usaha baik untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, jabatan berharap tenaga pengajar di kelas Tabika Perpaduan mampu mencetuskan aktiviti yang boleh menarik minat kanak-kanak supaya dapat membuka minda dengan keadaan sekitar.

Beliau berkata, jabatan tidak menghalang mana-mana guru untuk mengadakan pelbagai aktiviti di luas kelas malah sentiasa memberi sokongan dan galakkan kepada mereka untuk mempelbagaikan aktiviti.

Sementara itu, kanak-kanak yang menghadiri majlis jamuan yang diadakan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Jertih kelihatan gembira kerana mereka diraikan secara beramai-ramai di restoran seperti itu.

Selain kanak-kanak dan guru program berkenaan juga turut di hadiri oleh penolong Pegawai Perpaduan Daerah,Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ahli jawatankuasa penyelaras kelas Tabika berkenaan.