Penampilan bertenaga pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh yang kian memuncak hasil kejayaan kebelakangan ini termasuk dua kali memijak podium perlumbaan terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 lalu, menjadi tapak kukuh buatnya untuk disenaraikan ke Sukan Olimpik London nanti.
Nama anak muda berusia 24 tahun itu mungkin tidak segah rakan seangkatannya, Anuar Manan, namun pelumba kelahiran Kampung Ladang, Kuala Terengganu juga dilihat mampu meledak kebangkitan sebagai pelumba terbaik negara di pentas Kejohanan Dunia di Melbourne, Australia bermula 4 April ini.
Terbaru, Mohd Harrif menjuarai sirkit pertama Kejohanan Grand Prix Kebangsaan 2012 di Kedah, kelmarin.
“Saya harap kejayaan yang dilakar baru-baru ini seperti di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), LTdL, siri Grand Prix dapat membuka mata PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) untuk disenaraikan ke Sukan Olimpik.
“Pengalaman perlumbaan sehari berlumba di Sukan Komanwel New Delhi dapat membantu saya sekiranya terpilih ke Olimpik. LTdL adalah tempat terbaik untuk PKBM menilai pelumba kerana kelajuannya lebih kurang sama,” katanya.
Kejayaannya merangkul pingat gangsa di ACC 2012 di Velodrom Kuala Lumpur bulan lalu mendapat kepercayaan jurulatih, John Beasley untuk disenaraikan dalam acara scratch di Kejohanan Dunia bulan depan.
“Saya mahu ke Kejohanan Dunia ini bagi mengukur tahap kayuhan saya berbanding pelumba pelumba dunia yang lain seperti Britain, Perancis, Itali.
“Jika pada penyertaan kali pertama di Kejohanan Dunia 2008 saya gagal menamatkan perlumbaan, kali ini saya yakin untuk memberikan keputusan yang lebih baik,” katanya.
Berdasarkan kedudukan ranking semasa pelumba negara yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Malaysia layak menghantar dua pelumba secara merit bersaing di Sukan Olimpik London.