Halaman

27 March 2012

Pemimpin Pas pendendam

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sikap pemimpin Pas yang pendendam menjadi punca kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum tahun 2004.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas menang pada PRU tahun 1999, Pas melakukan bermacam-macam kezaliman seperti menghalau kanak-kanak dari kelas-kelas tadika dan memotong elaun guru-guru agama.

“Manakala JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat) yang diwujudkan oleh Pas bagi menggantikan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) bertindak zalim kepada rakyat, terutama ahli dan penyokong Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pesara Kanan Kerajaan di Kediaman Seri Iman, malam ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.

Menteri Besar berkata, berlainan pula dengan pemimpin Umno dan BN yang tidak pernah berdendam dengan rakyat negeri ini walaupun mereka pernah menyokong pembangkang hingga BN kalah di Terengganu pada 1999.

“Selepas kita menang kita lakukan pelbagai program untuk rakyat tanpa pilih kasih dan ideologi politik,” katanya.

Justeru itu, katanya, BN menang lagi pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas berjaya menjatuhkan Kerajaan Pas pada 2004 dan pihaknya yakin BN akan meneruskan rentak kemenangan ini pada PRU Ke-13.

“Saya harap semua pesara kerajaan menyokong kerajaan BN dan sama-sama membantu menyumbang tenaga bagi memastikan calon-calon BN menang pada pilihan raya ke-13 nanti,” katanya.



26 March 2012

`Hapus cukai pintu’ hanya janji kosong Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas terpaksa `mencipta’ manifesto yang langsung tidak masuk akal demi menambat hati pengundi supaya memihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Walhal setiap manifesto ciptaan mereka pernah gagal diterjemahkan ketika mereka menawan Terengganu suatu masa dulu (1999-2004), khususnya dalam isu memansuhkan cukai pintu kepada penduduk Terengganu.

“Antara lain janji awal PRU 13, jika Pas menang, cukai pintu dihapuskan. Itu suatu pembohongan.Rakyat terkeliru dan keadaan itu boleh diibaratkan `mati semut kerana gula’ , “ kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa mana-mana enakmen yang diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didapati bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen automatik enakmen berkenaan akan gugur.

“Ini bermakna mengikut Enakmen peringkat DUN, walaupun Pas memenangi dan memerintah Terengganu mereka sama sekali tidak boleh menghapuskan cukai pintu.

“Sebab ia tidak boleh diluluskan di DUN bagi menghapuskan cukai pintu di bawah Akta 131 kerana bercanggah dengan akta di peringkat Parlimen,” katanya.

Malah, ketika memerintah Terengganu dahulu, Pas bertindak membiarkan sahaja cukai pintu bertambun-tambun di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk.

Kesannya, tanpa sumber pendapatan yang mencukupi mengakibatkan kerajaan Pas ketika itu gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama bagi membersih sampah-sarap di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)masing-masing.

“ Apabila ini berlaku, kerajaan tiada duit menyebabkan sampah bertambun , cukai pintu tidak dibayar. Malah, kakitangan majlis (PBT) tidak dibayar `OT’, diganti pula dengan cuti. Itulah akibatnya,” katanya.

Demikian janji awal Pas dan pernah dilontarkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas PRU 13 nanti termasuklah meneruskan dasar pengecualian cukai pintu rumah kediaman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu sekarang dan tunggu sehingga Pas memenangi PRU itu sedangkan sejarah lalu membuktikan dasar yang dibuat itu `memakan’ diri sendiri.




Kanak-kanak tadika dididik utamakan kebersihan

Oleh; Esah Abdullah

Melentur buluh biar dari rebungnya. Berdasarkan kata-kata itu, kerajaan mengambil inisiatif mengadakan pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas Tadika untuk menyemai sikap cintakan kebersihan kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun.



Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamarul Al-Amin Ismail berkata, dengan adanya pertandingan semua yang terbabit termasuk guru dan kanak-kanak menjadi lebih bertanggung jawab menjaga kebersihan persekitaran sekolah.

“Perubahan drastik berlaku bila kita anjur pertandingan dan rata-rata kelas Tadika dan Pra Sekolah dilihat bersemangat membersih dan menghias luar dan dalam kelas,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika Peringkat Negeri Terengganu semalam.

Katanya, sebanyak 32 kelas Tadika dan Pra Sekolah di bawah kendalian Kemas, YIT, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Pejabat Pelajaran menyertai pertandingan.

“Setiap Parlimen diwakili empat buah kelas Tadika dan Pra Sekolah yang lulus dalam ujian saringan penghakiman bermula 12 hingga 21 Februari lalu,” katanya.

Pada majlis itu, Tadika Kemas An-Nur Kampung Raja, Besut muncul juara keseluruhan diikuti Tadika YIT Jalan Pusara, Kuala Terengganu (kedua), Tadika Kemas Kampung Beladau Kepong, Marang (ketiga) dan Tadika YIT Kemaman (keempat).

Juara keseluruhan menerima wang tunai RM5,000, RM4,000 (kedua), RM3,000 (ketiga) dan RM1,000 (keempat) beserta cenderahati dan sijil penghargaan. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.




Rekod UPSR Terengganu bukan ‘soalan bocor’

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Pelajaran negeri menafikan tohmahan yang tersebar bahawa kecemerlangan yang dicapai calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu disebabkan soalan bocor.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata, kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi terbaik 11 tahun berturut-turut disumbangkan beberapa faktor termasuk kerja keras guru-guru, keprihatinan ibu bapa dan kesungguhan murid.

"Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada hari pertama memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran yang baru berkata, dakwaan itu juga seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Majlis Peperiksaan Malaysia serta warga pendidik di Terengganu.

Zakaria berkata, Kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang banyak serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di negeri ini bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.


AADK wujud sukarelawan Skuad 1Malaysia

Oleh; Esah Abdullah

Skuad 1Malaysia diwujudkan bertujuan meningkatkan penglibatan anggota masyarakat supaya bersama-sama membanteras dadah dalam komuniti mereka khususnya di kawasan yang dikenalpasti berisiko.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Encik Abdul Mutalib Abdullah berkata, skuad ini juga diharap mampu melahirkan gelombang kesedaran di kalangan masyarakat sebagai agen penyalur maklumat dan mempromosi perkhidmatan AADK.

Katanya, setakat ini seramai 21,177 sukarelawan seluruh negeri telah menyertai Skuad 1Malaysia di bawah kelolaan AADK) Negeri Terengganu.

“Keanggotaan sukarelawan ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional untuk menjalin kerjasama membantu pihak berkuasa dalam menangani masalah dadah terutama di dalam komuniti mereka,” katanya.

Menurutnya, skuad ini ditubuhkan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan pengetahuan, kefahaman serta kemahiran mengenai peranan mereka dalam menangani masalah dadah di kawasan masing-masing.

Katanya, skuad itu dibahagikan kepada enam organisasi keahlian iatu Rakan Anti Dadah (RADA), Persatuan Alumni AADK (Pendamai), Masyarakat Wanita Antidadah (Mawadah), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Katanya, daripada jumlah pendaftaran skuad itu, keahlian RADA adalah paling banyak seramai 17,654 orang diikuti Pendamai (2,216), Mawadah (1,170), JKPD (144), Ahli Lembaga Pelawat (10) dan PRS (13).

Menurut beliau, AADK sentiasa membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertai Skuad 1Malaysia bagi sama-sama membantu kerajaan membanteras gejala dadah.





Maidam sedia RM2.54 juta biaya Muallaf

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membelanjakan kira-kira RM2.54 juta bagi membiayai pelbagai program kebajikan golongan Muallaf sepanjang tahun ini.

Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding RM1.1 juta yang dibelanjakan untuk program yang sama pada tahun lalu.

“Perutukan itu meliputi urusan bantuan bulanan, pengajaran agama, bantuan modal dan persekolahan anak-anak di seluruh negeri Terenggnu,” katanya

Encik Wan Harujan berkata pihaknya menubuhkan Skuad Mubaligh sebagai langkah mengesan dan menjejaki 1,498 Muallaf yang tidak aktif.

Berdasarkan rekod sepanjang 21 tahun iaitu berakhir 2011, seramai 2,058 orang telah memeluk Islam dan hanya 560 Muallaf dikesan aktif dengan mengikuti kelas bimbingan saudara kita di 18 lokasi seluruh Terengganu.

Haji Wan Harujan, berkata pihaknya serius mengesan mereka kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan berlaku termasuk akan kembali kepada agama asal.

“Kebanyakan mereka gagal dikesan kerana dikaakan telah berkahwin, sudah berpindah ke negeri lain dan mendapat pendidikan agama Islam daripada keluarga angkat.

“Terdapat juga antara mereka lebih berminat mendapatkan ilmu Islam secara bersendirian dengan menghadiri cemarah agama di masjid atau surau,” katanya.

Beliau berkata, Skuad Mubaligh yang dianggotai 7 ahli berketurunan Cina, Orang Asli, India dan Kemboja itu akan mengesan secara terperinci termasuk mengambil tahu tentang pemahaman dan amalan hidup, tempat tinggal dan sebagainya.

“Pihaknya meluluskan peruntukan RM360,000 bagi membiayai aktiviti skuad itu sepanjang tahun ini,” katanya.




Kerja kuat hadapi cabaran besar, PRU 13 : Tengku Putera

Oleh: Mastura Jamaluddin

“Sebagai panglima atau hulubalang yang dipertanggungjawabkan untuk membantu parti, kita semua perlulah bekerja kuat tanpa sebarang rungutan untuk menghadapi cabaran besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja nanti,” kata Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Pesanan itu disampaikan beliau di majlis perjumpaan khas bersama 108 warga Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang , Haji Mohd Zawawi Ismail; Wakil Adun Telemong, Encik Rosli Yaakob; Ahli Jawatankuasa Bahagian serta kakitangan APMT dari empat DUN Parlimen Hulu Terengganu.

Dato’ Tengku Putera juga meminta supaya setiap ahli APMT perlu menanam jati diri yang kuat dan ikhlas bekerja bagi memastikan perjuangan dan hala tuju sebenar agensi itu dapat tercapai, selain setiap perjuangan dalam parti memberi pulangan yang positif.

Katanya, apa yang penting adalah memastikan Barisan Nasional akan terus memerintah Terengganu dan Malaysia amnya.





Pemuda, Puteri Marang dan Hulu Terengganu sertai kursus pemantapan

Oleh: Mastura Jamaluddin

Bagi memantapkan aspek mental dan fizikal serta organisasi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi, Pemuda dan Puteri Umno Hulu Terengganu serta Marang menyertai kursus pemantapan yang dijalankan di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.



Program tiga hari disertai 635 peserta itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, YB Dato’ Mohd Sharkar Shamsudin.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Marang merangkap Ketua Pemuda Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin; ,Ketua Pemuda Bahagian Hulu Terengganu, Encik Rosli Noorul Azhar Hassan; Ketua Puteri Umno Marang, Puan Marina Endut; Ketua Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina Abd Rahman dan barisan exco Bahagian masing-masing.

YB Dato’ Sharkar berkata, Pemuda dan Puteri atau `orang muda’ perlu bangkit dengan satu tekad yang jitu untuk memastikan Kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah tanah air yang tercinta.

“Kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melengkapkan diri bagi menghadapi PRU 13 dan pastikan Terengganu akan kekalkan kerusi yang sedia ada dan merampas kembali kerusi daripada pihak pembangkang.”katanya.

Sementara itu, kesemua peserta yang hadir begitu bersemangat dan berjanji untuk berjuang sehingga titisan darah terakhir bagi mempertahankan agama ,bangsa dan negara daripada jatuh ke tangan pihak pembangkang.

Malah, mereka juga akan memastikan BN akan menjadi parti pilihan orang muda dan memberi undi kemenangan tertinggi kepada parti itu untuk terus memerintah Malaysia.






RM23 juta bina pusat pemulihan dadah, CNC di Besut

Oleh FAUZI MOHD

Klinik Cure And Care (CNC), sebuah pusat rawatan dan pemulihan penagihan dadah bernilai kira-kira RM23 juta akan dibina di Kampung Raja, Besut tidak lama lagi, kata Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Abdul Mutalib Abdullah.

Menurut beliau, pembinaan klinik yang menempatkan 200 katil itu bagi menggantikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang akan dirobohkan Jun ini dan siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, CNC berkonsepkan perkhidmatan rawatan secara berkala kepada penagih yang datang secara sukarela dan golongan berkenaan tidak perlu menetap di pusat berkenaan.

"Ia berbeza dengan konsep Puspen apabila penagih yang dimasukkan ke pusat itu perlu mendapat perintah Mahkamah. Tetapi pusat CNC ia lebih terbuka dengan penagih sukarela datang untuk mendapatkan rawatan," katanya semalam.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata di Terengganu terdapat 21,177 anggota Skuad 1Malaysia yang terdiri daripada pertubuhan dan persatuan.

Jelas beliau, antaranya ialah, Rakan Anti Dadah (Rada) melibatkan 17,654 anggota, Persatuan Alumni AADK (2,216), Masyarakat Wanita Anti Dadah (1,170), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (144), Ahli Lembaga Pelawat (10) dan Pembimbing Rakan (13).

“Objektif kita ialah untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat terutama golongan remaja dan belia mengenai kesan dadah terhadap kesihatan dan kesejahteraan.

“Kita menggerakkan Skuad 1Malaysia dan ahli komuniti bagi memerangi masalah dadah dalam komuniti mereka serta menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan terkini kerajaan dalam bidang rawatan dan pemulihan penagihan dadah," katanya.



5 penerbangan seminggu Berjaya Air ke Pulau Redang

Penerbangan Berjaya Air mendarat di Pulau Redang, Kuala Terengganu.

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Mohd Yahya Muda

Berjaya Air Sdn. Bhd. menyambung semula perkhidmatan udara ke Pulau Redang dengan lima penerbangan seminggu menerusi Lapangan Terbang Subang di Selangor serta Lapangan Terbang Selatar dan Changi di Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Dato’ Mohd. Said berkata, syarikat berkenaan telah menyatakan komitmen untuk meneruskan penerbangan ke pulau peranginan itu setelah hampir empat bulan dihentikan ekoran musim tenkujuh.

Menurutnya, kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Redang melalui perkhidmatan udara begitu mendapat sambutan khususnya dari Singapura yang mengatasi jumlah penerbangan ke Pulau Langkawi, Pangkor dan Tioman.

“Kerajaan negeri sentiasa perhebatkan promosi pulau-pulau peranginan di Terengganu. Hasil yang dapat kita lihat, penerbangan ke Pulau Redang paling kerap, berbanding pulau-pulau lain seperti Langkawi, Pangkor dan Tioman yang menerima tiga atau empat penerbangan seminggu.

“Daripada jumlah 3.16 juta pelancong yang direkodkan melawat Terengganu tahun lalu, seramai 188,000 orang telah mengunjungi Pulau Redang bagi tempoh Mac hingga Oktober,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan pertama Berjaya Air dari Singapura ke Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang (LTPR), semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, YB. Khazan Che Mat dan Pengarah Eksekutif Berjaya Hotels & Resorts, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustafa Kamel ibni Sultan Mahmud.

Penerbangan pesawat ATR72-500 dari Lapangan Terbang Changi, Singapura membawa 38 penumpang dan disambut Dato’ Abdul Rahin, Khazan dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB), Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, penerbangan terus Berjaya Air dari Subang bermula pada tahun 2004, dari Selatar setahun selepas itu dan bermula 2010 dari Changi yang membawa pesawat 72 tempat duduk , khusus untuk landasan pendek di LTPR iaitu 1,100 meter panjang dan 30 meter lebar.

“Lapangan terbang yang dikendalikan MAB itu telah dinaik taraf dengan pembinaan terminal dan landasan baru serta memperkemaskan perkhidmatan Jabatan Kastam. Hasil pembaharuan itu juga, kadar purata penginapan resort-resort di Pulau Redang pada tahun lalu sebanyak 40 peratus.

“Selain perkhidmatan penerbangan, Berjaya Air bekerja rapat dengan hotel dan pusat peranginan bagi menawarkan pakej-pakej percutian menarik sekali gus membantu perkembangan hotel dan resort yang terdapat pulau ini,” katanya.

Pada majlis itu juga, Kalender Aktiviti Pelancongan Terengganu tahun 2012 turut diperkenalkan kepada para pelancong yang disempurnakan Tengku Sri Bendahara Raja dan ia sebagai persiapan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2013.