Halaman

27 March 2012

Exco janji bantu dua nelayan Pulau Perhentian yang hilang rumah



Oleh: Mohammad Ishak


Nasib malang yang menimpa dua penduduk Pulau Perhentian, dekat Kuala Besut, yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka hangus dijilat api malam semalam mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut, hari ini melakukan lawatan mengejut dan menemui dua mangsa berkenaan dan berjanji akan membantu masalah dihadapi termasuk membawa kes terbabit pada mesyuarat Exco di Kuala Terengganu esok.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam semalam dua mangsa terbabit ialah Abdullah Omar,55, dan Mat Sarah Hamzah,46, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah terbakar.

Ketika melawat tempat kejadian hari ini Dr A Rahman berkata, masalah kes kebakaran di pulau peranginan itu berisiko tinggi kerana kedudukan rumah penduduk berdekatan antara satu sama lain.

Katanya, dalam kejadian itu penduduk berhampiran masih bernasib baik kerana rumah mereka tidak dijilat api selepas penduduk bertungkus lumus menyimbah air menggunakan baldi bagi memadam kebakaran dan mengelak menyambar rumah berdekatan.

Berikutan kejadian itu, penduduk pulau dan Pergerakan Pemuda Umno Kuala Besut melakukan kutipan derma kilat untuk membantu mangsa terbabit yang kehilangan harta benda termasuk tempat tinggal.


Dr A Rahman berharap pihak terbabit termasuk TNB, Satu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera bagi membantu mangsa dan penduduk yang terjejas dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik akibat kerosakan bencana itu.






Piala FA - Giliran T-Team mengasak Kedah di laman sendiri buru slot separuh akhir

Oleh FAUZI MOHD

Skuad T-Team kini dalam misi mencipta kemenangan di laman sendiri pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Kedah setelah terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di tempat lawan Sabtu lalu.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, kemenangan pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini amat penting bagi membolehkan nyalaan misi pasukan itu melangkah ke separuh akhir.

Katanya, semangat anak buahnya kini berkobar-kobar dengan keputusan seri 0-0 pada pertemuan sebelum ini ditambah bermain di hadapan penyokong sendiri yang menjadi faktor mampu mencatat kemenangan agregat menjinakkan skuad Kenari itu.

"Pertemuan suku akhir pertama di Kedah (Stadium Darul Aman) Sabtu lepas, kubu pertahanan kita berjaya bertahan dan tidak bolos walaupun diserang bertali-arus selama 90 minit.

"Kali ini giliran kita pula mengasak sebagaimana mereka mengasak kita dalam pertemuan sebelumnya. Saya mahu pemain saya tidak beri peluang kepada mereka untuk rapat ke kawasan kita," katanya.


23 murid Pulau Perhentian dapat e Book



Oleh: Mohammad Ishak


Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah memin ggir mana-mana murid untuk mendapatkan sumbangan e Book termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan pulau.

Ini terbukti apabila 23 murid tahun empat dari Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, turut menikmati kemudahan berkenaan.

Majlis penyerahan e Book kepada murid terbabit dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu,Zakaria Hussin dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abd Halim Hassan.

Murid SK Pulau Perhentian adalah yang pertama menerima agihan e Book pada tahun ini bagi daerah Besut dan membuktikan mereka diberi perhatian lebih berbanding kawasan lain.

Dr A Rahman ketika merasmikan majlis itu mahu ibu bapa dan guru sentiasa mengawasi anak-anak yang mendapat kemudahan e Book supaya menggunakan sepenuhnya untuk kemudahan pembelajaran.

Katanya, walaupun tinggal di sebuah pulau kerajaan negeri tetap memberi perhatian kepada penduduk pulau kerana tidak mahu anak-anak mereka tersisih daripada kemajuan pelajaran.

“Apa yang diharapkan dengan adanya kemudahan e Book akan ada murid dari sekolah berkenaan memperolehi pencapaian terbaik dalam UPSR,” katanya.


Pemuda Umno yakin undi populariti BN meningkat


Oleh: Suriati Ali


Pergerakan Pemuda Umno negeri ini percaya undi populariti Barisan Nasional (BN) akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding 56 peratus PRU pada 2008.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin, berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

"Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan pelbagai program khususnya mendekati golongan muda terutama mengajak mereka mempertahankan pembangunan dan kemajuan yang sedang rancak dilakukan di negeri ini.

UMNO juga katanya lagi kini mahu rakyat menghayati slogan "Tidak Pernah Sebelum Ini dan Masihkah Kau Ingat" sebagai ingatan agar mereka tidak memperjudikan masa depan mereka dengan menyokong pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Slogan "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’" merujuk kepada projek pembangunan untuk rakyat yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN dan tidak wujud pada zaman pemerintahan Pas.

Antaranya pembinaan lebuh raya, kompleks belia, pembesaran lapangan terbang, mewujudkan universiti serta pelbagai projek infrstruktur yang lain.

Manakala slogan "Masihkah Kau Ingat" pula menjurus kepada kezaliman yang dilakukan oleh Pas ketika mereka memerintah seperti menghalau kanak-kanak Tabika Kemas daripada premis belajar, penyelewengan hasil balak dan pelbagai bentuk kezaliman lain.



Kerajaan tidak akan layan desperado

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan kerajaan tidak akan melayan sikap desperado parti pembangkang yang tidak berhenti memburukkan kerajaan di mata rakyat, sebaliknya akan terus memberi perhatian serius demi kejayaan pelajar di negeri ini.

“Pemimpin pembangkang tidak akan mengiktiraf usaha dan pengorbanan yang kerajaan buat untuk rakyat di negeri ini walaupun membabitkan masa depan anak-anak mereka sendiri, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Empat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini, sebagai mengulas tuduhan pihak pembangkang kononnya berlakunya soalan bocor dalam peperiksaan awam tahun lalu yang membawa kepada kejayaan negeri mengungguli keputusan cemerlang setiap tahun.

Hadir sama Pengerusi jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw dan Ketua Sektor Pendidikan Jabatan Pelajaran, Haji Mohd Zubir Embong.

“Saya kesal bila ada tuduhan yang tidak berasas dikeluarkan pemimpin pembangkang, sedangkan kerajaan melabur ratusan juta ringgit untuk pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, pembangkang telah menafikan pengorbanan guru-guru, ibu bapa dan pelajar yang berusaha keras bagi memastikan kejayaan dalam setiap peperiksaan umum dihadapi.

“Mereka (pembangkang) hanya mencari modal politik tanpa memikirkan kesan yang dirasai anak-anak kita yang belajar siang malam untuk berjaya,” katanya.

Menteri Besar berkata, jika benar berlaku soalan bocor, tentu pelajar di negeri ini mendapat 100 peratus A dan tidak timbul orang itu dapat dan orang ini tidak dapat.

Pada majlis itu, seramai 667 pelajar Tahun Empat dari tujuh sekolah rendah dalam DUN Bandar menerima pemberian e-Book yang disampaikan Menteri Besar.




















Pesara kerajaan boleh bantu BN menang pilihan raya

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pesara kerajaan boleh membantu Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata jika semua pesara kerajaan mengundi calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN pada pilihan raya itu, BN boleh mencapai kemenangan 100 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan senarai nama pesara kerajaan yang diperolehi kelab tersebut, bilangan pesara kerajaan yang terdapat di kawasan DUN yang kini dimenangi parti pembangkang pada PRU12, ia melebihi majoriti yang diperolehi calon parti pembangkang.

“Jadi pihak kami membuat kesimpulan jika semua pesara kerajaan undi calon BN, maka BN boleh menang semua kerusi DUN di Terengganu, termasuk yang sebelum ini dimenangi calon daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said Bersama Pesara Kanan Kerajaan di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Terengganu, Dato’ Muhatar Abdullah.

Tan Sri Aseh berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 21,000 pesara kerajaan yang terdapat di seluruh negeri ini dan pihaknya mahu mendekati golongan tersebut supaya mereka memihak kepada BN.

“Inilah cara yang pihak kami boleh bantu bagi memastikan BN dan Umno terus berkuasa di negeri ini dan Malaysia. Kita mahu BN menang di Parlimen dengan mendapat majoriti dua pertiga,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan pesara perlu sedar bahawa Kerajaan BN begitu banyak berjasa kepada mereka semasa menjadi penjawat awam, termasuk dalam soal menjaga kebajikan penjawat awam.

“Inilah masa yang terbaik untuk kita semua membalas jasa yang dicurah kerajaan selama ini serta memastikan kesinambungan pentadbiran yang baik dan bersistematik bagi kebaikan generasi akan datang,” tambahnya.



UMT bakal anjur kejohanan skuasy dunia 2016

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan hasrat institusi itu menganjurkan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia pada 2016 mampu direalisasikan .

Naib Caunselor UMT Prof Dato’ Dr Aziz Deraman berkata buat permulaan, pihaknya akan cuba mendapatkan dana daripada KPT untuk menaik taraf dua buah gelanggang skuasy sedia ada bernilai hampir RM1 juta di kampusnya di Kuala Terengganu.

"KPT memilih UMT sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PST) skuasy, jadi kita buat perancangan dengan jelas termasuk mendapatkan dana tambahan daripada KPT bagi menaik taraf kemudahan skuasy untuk memastikan kita berjaya menganjurkan kejohanan berkenaan," katanya selepas majlis pelantikan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David selaku ikon skuasy Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, UMT juga berharap KPT dapat memberikan dana untuk memperbanyakkan lagi gelanggang skuasy moden berbentuk kaca sebagaimana yang terdapat di negara lain.




Kempen kesedaran anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) akan melancarkan Kempen Kesedaran Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupaan Migran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2012 di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 29 Mac (Khamis) ini.

Program mendapat kerjasama penuh Kerajaan Terengganu dalam usaha memberi kesedaran dan pengetahuan kepada umum mengenai isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang kini menjadi jenayah global dan berat.

Majlis pelancarannya dijangka akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kira-kira jam 8 pagi.

Pengerusi NCWO Terengganu, Puan Norhasliza Abu Bakar, berkata kempen tersebut diharap mampu membangkitkan kesedaran semua pihak terutama orang awam untuk sama-sama membantu agensi kerajaan seperti Polis, Imigresen, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja dalam membanteras isu itu.

“Isu ini terlalu serius dan wajar dibanteras habis-habisan supaya semua pihak bersedia berkongsi serta memberi maklumat atau melaporkan jika mengetahui ada kegiatan mengeksploitasi manusia di tempat mereka.

“Ini kerana pemerdagangan orang bukan hanya aktiviti pelacuran sahaja, tetapi juga perhambaan, mengemis dan mencuri organ. Isu ini tidak hanya timbul di negara kita, malah menjadi isu global membabitkan semua negara di dunia,’’ katanya ketika dihubungi Teganukita, semalam.

Dalam pada itu, mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamed turut dihadiri ketua-ketua jabatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu,baru-baru ini.

Untuk rekod, NCWO mula melancarkan kempen itu sejak akhir 2010 dan sehingga kini beberapa negeri telah melaksanakannya termasuk Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak.





















Laluan Terengganu berliku, ‘modal kecil’ berdepan Lions

Oleh FAUZI MOHD

Misi Terengganu masih berliku untuk bertemu Lions XII FC di perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Singapura malam ini sekalipun mempunyai kelebihan satu gol.

Jurulatih skuad itu, Mat Zan Mat Aris berkata, ini kerana perlawanan itu akan menentukan kedudukan Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 sama ada hidup atau mati dalam kejohanan kali ini.

Beliau berkata, kunjungan skuad Penyu ke Singapura merupakan satu misi yang amat sukar, lebih-lebih lagi dengan modal yang amat kecil.

“Memang kita tidak selamat dengan kelebihan satu gol, tetapi kita akan mempertahankan kemenangan itu sehingga ke wisel penamat,” katanya kepada pemberita di sini.

Terengganu mengalahkan Lion XII FC 1-0 dalam pertemuan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lalu hasil jaringan pemain tengah Joseph Kalang Tie pada minit ke 65 separuh masa kedua.


MB lancar edisi khas Teganukita

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Keluaran khas Teganukita yang diterbitkan Unit Komunikasi Negeri sempena genap empat tahun pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dilancarkan di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad melancarkan terbitan akhbar tersebut pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pesara Kanan Kerajaan yang diadakan khusus bagi meraikan bekas penjawat awam berkenaan.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan kakitangan unit berkenaan turut hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Akhbar Teganukita keluaran khas ini memuatkan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang empat tahun Dato’ Seri Haji Ahmad menerajui pemerintahan negeri ini.

Teganukita akan diedarkan ke seluruh negeri bagi membolehkan rakyat mengetahui apa yang berlaku di negeri ini sepanjang pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Menteri Besar ke-13 itu.