Halaman

27 April 2012

YT tarik balik tajaan pelajar serta perhimpunan haram

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Terengganu (YT) akan mengambil tindakan tegas, termasuk menarik balik tajaan pengajian pelajar tajaannya yang menyertai mana-mana perhimpunan haram, termasuk perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, esok.

Timbalan Pengarah YT, Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya akan memantau perkembangan semasa yang melibatkan demonstrasi sama ada di dalam atau luar negara, bagi memastikan pelajar tajaannya tidak terlibat dengan perhimpunan haram seumpama itu.

“Saya nasihatkan semua pelajar tajaan YT supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan tidak menghadiri mana-mana perhimpunan haram bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan jaya.

“Jika ada pelajar yang didapati menyertai perhimpunan haram, pihak kami akan mengambil tindakan mengikut Fasa 3 (2) Perjanjian Pinjaman antara YT dengan pelajar di mana pinjaman mereka akan ditarik balik dan boleh dikenakan penalti,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui semalam.

Pelajar yang ditamatkan pinjaman pengajian mereka dikehendaki membayar balik semua wang yang diberi kepada mereka dan dikenakan penalti sebanyak 20,000 atau sekali ganda jumlah pinjaman.

Beliau mengingatkan semua pelajar tajaan bahawa mereka melanggar Fasa 2 perjanjian antara YT dengan pelajar jika mereka menyertai mana-mana perhimpunan haram di dalam atau luar negara.

Sebelum ini sembilan pelajar di Mesir ditarikbalik pinjaman mereka kerana didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan Bersih di Mesir, tahun lalu.

Encik Razali mengingatkan pelajar supaya tidak menyertai perhimpuan BERSIH 3.0 yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka esok bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas oleh YT.

“Jika pelajar menyertai perhimpunan berkenaan mereka bukan saja akan ditahan oleh pihak berkuasa tetapi juga bakal berdepan dengan hukuman ditarikbalik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak jika ada laporan pelajar terlibat dengan perhimpunan itu dan terdapat bukti kukuh seperti gambar-gambar yang diambil semasa perhimpunan, bagi mensabitkan kesalahan mereka.





Peruntuk RM700 juta bina 10,000 rumah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM700 juta untuk membina 10,000 rumah kos rendah dan mampu milik bagi membolehkan rakyat negeri ini memiliki rumah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kesemua rumah itu membabitkan sebanyak 43 projek yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun iaitu antara 2008 hingga 2013.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 1,451 buah rumah sedang dibina di Kemaman manakala 500 unit lagi akan dibina di daerah itu tahun depan.


Bagi Kuala Terengganu kata Ahmad, sebanyak 2,374 unit rumah dibina di daerah itu selain 1,002 unit kediaman lain yang dibina oleh kerajaan Pusat di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

"Di Besut pula, sebanyak 1,245 buah rumah turut dibina selain di Setiu iaitu sebanyak 133 unit, Marang sebanyak 383 unit, Dungun sebanyak 1,133 unit dan Hulu Terengganu sebanyak 626 unit," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Harun Taib (Pas-Manir) pada Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, semalam.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada rakyat negeri ini termasuk penjawat awam berpendapatan RM3,000 ke bawah sebagai syarat baru memohon rumah jenis itu.

"Kerajaan negeri sedar mengenai perkembangan semasa termasuk kos sara hidup yang makin meningkat, jadi kita naikkan daripada mereka yang berpendapatan RM1,200 atau RM2,000 kepada RM3,000 sebagai syarat memohon mendapatkan rumah tersebut," katanya.


MB nafi dakwaan Pas

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar Dato Seri Ahmad Said menafikan dakwaan penyokong PAS bahawa kerajaan negeri merampas tanah rakyat termasuk di tapak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka, Dungun serta mengambil balik ta nah di Kampung Jelapang, Setiu dan di Kampung Jeram, Manir untuk projek pembinaan jalan.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri merampas tanah rakyat adalah tidak berasas sama sekali dan lebih menjurus kepada agenda politik parti itu.

Katanya, tapak sekolah agama se luas 0.4 hektar di Kampung Kolam Mak Tagar, Paka, diberikan lesen menduduki sementara (TOL) kepa da penyokong PAS ketika parti itu memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Penyokong PAS itu tidak mem bayar TOL seperti yang ditetapkan setiap tahun. Apabila Barisan Na sional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, kita dapati tanah itu tidak dimiliki dan lima individu membuat permohonan.

“Kita luluskan (permohonan itu) kerana semakan mendapati tanah terbabit masih kosong dan kerajaan negeri bersetuju membuat pecahan kepada lima lot,” katanya ditemui pada sampingan Persidangan De wan Undangan Negeri (DUN) di si ni, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai memorandum bantahan yang disampaikan kepa danya oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS 1, Saiful Bahri Mamat kelmarin mengandungi enam tuntutan, termasuk beberapa kes pengambi lan balik tanah.

Mengenai tanah untuk projek jalan di Kampung Jeram hingga Kam pung Banggol Tuan Muda, Ahmad berkata, kepimpinan PAS ditipu oleh 22 ahlinya apabila mendakwa kerajaan negeri tidak membayar pampasan dan menyediakan tapak baru.

“Kita sudah meneliti, 22 pendu duk yang juga ahli parti itu sudah menerima bayaran pampasan dan ditawarkan berpindah ke tapak ba ru tetapi mereka enggan berpin dah.

“Sebaliknya, lebih 100 lagi pen duduk yang tinggal di kawasan sa ma bersetuju untuk berpindah ke tapak baru disediakan serta me nerima pampasan ditawarkan oleh kerajaan.

“Orang lain yang terbabit semua nya sudah berpindah, hanya seke lompok 20 orang PAS ini yang tidak mahu pindah. Takkan kerana dia tak mahu pindah menyebabkan pembinaan jalan lebih RM200 juta terbengkalai,” katanya.

Mengenai tanah seluas 70 hektar untuk pelaksanaan Projek Ladang Ternakan Undang Bersepadu (i- SHARP), Setiu, Ahmad berkata ta nah itu pernah diusahakan dengan pelbagai projek pertanian oleh pen duduk kampung, termasuk ahli dan penyokong UMNO bermula 1990.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengusahakan kerana tanah berkenaan sering ditenggelami air setiap kali musim banjir.

Pada 1999, beliau berkata, penyo kong PAS mengusahakan tanah itu tanpa mendapat kelulusan kerajaan dan dakwaan mengatakan tanah berkenaan dibersihkan penyokong parti itu tidak berasas.

“Apabila kerajaan memutuskan untuk membangunkan kawasan itu dengan melaksanakan projek i- SHARP, kita ambil dan penyokong parti itu juga ditawarkan bayaran imbuhan dan mereka masing-ma sing bersetuju menerima imbuhan itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti tiga lagi memoran dum tuntutan diserahkan parti itu membabitkan dakwaan rampasan tanah, termasuk projek tanaman padi di kampung Jelapang dan pe nyerahan tanah generasi kedua pe neroka FELDA kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVHB).


JKNT anjur Karnival Kesihatan 1Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Hospital Besut (HB) akan menganjurkan Karnival Kesihatan 1Malaysia peringkat Negeri Terengganu di perkarangan HB.

Karnival sehari bertemakan `1Malaysia: Rakyat Sihat Negara Maju’ dan diadakan pada hari esok (28 April) itu akan dirasmikan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival itu, antaranya pameran kesihatan, pemeriksaan gigi, saringan minda, derma darah, kuiz kesihatan, jualan produk hasil tani dan pertandingan mewarna serta melukis.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, berkata pada karnival kali ini pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana pembedahan kecil yang ditayangkan secara terus dari dewan bedah HB.

Katanya, karnival cukup penting kerana mampu memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkhidmatan dan kepakaran yang ada serta menyampaikan maklumat kesihatan secara terus kepada pengunjung.

“Orang ramai terutama penduduk setempat dijemput hadir memeriahkan karnival di samping merebut pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur,” katanya.


Kecurian di kompleks sukan tidak cecah RM50j

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menegaskan kerugian akibat kecurian peralatan di Stadium Sultan Zainal Abidin (SSMZA), Kompleks Sukan Negeri Gong Badak tidak melibatkan RM50 juta berikutan taksiran sebenar masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za'abar Mohd Adib berkata jumlah kerugian yang digembar-gemburkan segelintir pihak itu tidak benar sama sekali.



Katanya, kompleks yang ditadbir Unit Pengurusan Kompleks Sukan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu melantik syarikat keselamatan, MN Millenium Security Sdn Bhd bagi menjalankan tugas keselamatan dengan 30 petugas yang dipertanggungjawabkan mengawal keselamatan stadium itu bermula 2008.

"Soal kecurian, ada enam laporan polis telah dibuat dan kini pihak polis sedang menyiasat kecurian tersebut. Polis juga telah membuat siasatan forensik di lokasi terlibat sejurus menerima laporan dan sehingga kini siasatan bagi semua laporan masih berjalan.

“Taksiran kecurian masih dalam penelitian pihak Jabatan Kerja Raya..Yang kata RM50 juta ..ada akhbar yang melaporkan begitu dan ada penafian sudah dibuat (pihak kerajaan),” katanya.







MB rayu perhatian Kementerian Kerja Raya percepat pembinaan LPT Fasa II

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said melahirkan kekecewaannya kepada Kementerian Kerja Raya berikutan kelewatan membuka semula tender bagi menyiapkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II membabitkan dua laluan yang masih terbengkalai.



Beliau berkata, pihak kementerian sepatutnya membuka tender untuk melantik semula kontraktor yang lebih berwibawa bagi membolehkan dua pakej dari Paka, Dungun hingga Ibok, Kemaman yang belum siap iaitu pakej 7 sejauh 13.7 kilometer dan pakej 4 laluan sejauh 3.7 kilometer dilaksana secepat mungkin.

"Saya sangat berharap agar kementerian dapat mempercepatkan proses membuka tender untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan pembinaan jalan raya di dua laluan itu.

"Jika ia mengambil masa panjang, ini akan merugikan banyak pihak terutama kerajaan negeri kerana kos kewangan semakin meningkat selaras dengan kelewatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bermula dari Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu hingga ke Plaza Tol Bukit Besi, Dungun semalam.



Ahmad yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, juga meninjau keseluruhan laluan LPT sejauh 63.4 kilometer itu, termasuk laluan yang masih dalam pembinaan di sepanjang susur keluar Bukit Besi-Kuala Dungun.

Beliau berkata, jika kontraktor baru yang bakal dilantik itu memberi komitmen terhadap pembinaan dua laluan yang terbengkalai itu, ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan sahaja.

"Ini kerana bagi laluan pakej 4, kerjanya sudah siap 60 peratus manakala bagi pakej 7, ia sudah siap 50 peratus," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mensasarkan pembukaan LPT itu sepenuhnya sebelum akhir tahun depan.


Harris ketuai cabaran Le Tour de Borneo

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejohanan lumba basikal Le Tour de Borneo menyaksikan pelumba elit basikal negara, Mohd Harris Salleh menggalas tugas selaku ketua pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) dalam cabaran empat hari bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Encik Hadi Hassan berkata TSG menyenaraikan lima orang pelumba termasuk Mohd Shahrul Mat Amin, Ahmad Faiz Abdul Kadir, Mohd Nor Umardi dan Muhammad Shobry Abdullah, bagi mengintai peluang meraih kemenangan di kejohanan julung kali itu.


“Kejohanan kali ini merupakan kejohanan kelima yang disertai pasukan TSG tahun ini di bawah bimbingan jurulatih dari Perancis, Sebastien Duclos,” katanya.

Beliau berkata bagi TSG, kejohanan itu penting bagi membolehkan pelumba menimba pengalaman sebelum menyertai kejohanan lebih mencabar , iaitu Jelajah Malaysia bermula 8 hingga 13 Mei nanti.

Encik Hadi berkata sehingga Julai ini, TSG bakal menyertai 11 jemputan kejohanan di luar negara sebagai persiapan secara intensif pasukan itu bagi membentuk pelumba yang mampu menimba lebih pengalaman dan tampil lebih mantap dalam setiap cabaran di kejohanan lebih besar.

Dalam pada itu, pasukan kedua TSG kini sedang menyertai kejohanan Le Tour de Korea dari 22 hingga 29 April yang merupakan satu kejohanan terbesar di Asia.

“TSG menyenaraikan enam pelumba, Chan Jiang Je, Kim Dong Hyong, Mohd Saufi Senan, Mohd Saiful Anuar, Mohd Zamri Salleh dan Nor Amirul Fakhruddin ke kejohanan itu, manakala pengurusnya Mohd Jasmin Roslan,” katanya.

Beliau berkata TSG turut menyertai beberapa kejohanan utama sebelum ini seperti Le Tour de Langkawi, Thailand, Filipina dan Korea.








26 April 2012

MB gempur Wakaf Mempelam Sabtu ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Sabtu ini.

Pelbagai program diatur sempena lawatan sehari pemimpin nombor satu negeri ke satu lagi DUN yang dikuasai parti pembangkang, bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada penduduk tempatan.

Ketibaan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud di Simpang Tok Ku, pada jam 8.15 pagi, akan disambut pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu serta DUN berkenaan dan diarak ke Losong Atap Zink di mana mereka akan menikmati sarapan pagi bersama-sama penduduk tempatan di Warung Losong Atap Zink.

Selepas itu Menteri Besar akan melawat rumah beberapa penduduk kampung yang uzur dan warga emas yang memerlukan rawatan, bagi menyampaikan sumbangan.

Kira-kira jam 10.45 pagi, Dato’ Seri Haji Ahmad akan hadir di majlis Penyampaian Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat DUN Wakaf Mempelam di Masjid Losong Dato’ Amar.

Beliau juga dijadualkan hadir pada Majlis Bersama Imam, Bilal dan Guru Agama serta majlis Penyampaian Bantuan Sewa Rumah Projek Kemiskinan Bandar MBKT dan perasmian balai raya Paloh-Sungai Kiat di balai raya tersebut.

Menteri Besar dan rombongan kemudiannya akan menikmati jamuan tengah hari di balai raya tersebut bersama-sama penduduk tempatan serta menunaikan solat Zohor di Masjid Sungai Rengas.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya akan hadir di Majlis Bertindik Beramai-Ramai di balai raya Kampung Wakaf Mempelam kira-kira jam 2.45 petang dan menunaikan solat Asar di Masjid Kampung Tok Jamal.

Kira-kira jam 5 petang beliau akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing di Kmapung Sungai rengas dan selepas itu menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan futsal di Kampung Durian Burung.

Menteri Besar akan menunaikan solat Maghrib dan hadir pada majlis kuliah Maghrib di Masjid Kuala bekah, sebelum menghadiri Forum Isu-Isu Semasa di sekolah Kebangsaan Pulau Rusa.


Penenun songket dapat rumah baru

Oleh FAUZI MOHD

Penenun songket, Fatimah Said, 44, bersama enam sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang ekoran kebakaran rumah mereka di Kampung Tebakang, di sini Isnin lalu menerima khabar gembira hari ini.



Berita pembinaan rumah baru yang beharga RM53,000 itu disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menziarahi keluarga malang itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah.

Rumah baru yang bakal siap tiga minggu lagi merupakan sumbangan Kerajaan Negeri melalui Tabung Darul Iman sebanyak RM33,000 dan tambahan peruntukan daripada ADUN kawasan itu.



Fatimah yang kini menumpang di rumah anak saudaranya berkata, mereka mengalami kerugian ditaksir sebanyak RM124,000 termasuk peralatan menenun songket dalam kejadian pukul 4.30 petang yang berpunca daripada litar pintas.



“Tiada apa yang mampu diselamatkan kerana api marak begitu cepat. Duit belanja RM500, sehelai tenunan songket bernilai ribuan ringgit, buku sekolah anak-anak termasuklah Mykad hangus dijilat api.

“Walaupun semua harta benda musnah, saya bersyukur kerana anak bongsu saya yang berada dalam buaian ketika bumbung rumah mula berasap berjaya dibawa keluar,” kata isteri kepada penoreh getah, Tun Mamat Tun Jambol, 56.

Sementara itu Ahmad berkata, usaha itu merupakan amalan berterusan pihak kerajaan untuk memastikan setiap keluarga yang ditimpa kedukaan tidak mengalami masalah kerana ketiadaan tempat tinggal ekoran kejadian itu.

“Mangsa juga akan diberi bantuan khas untuk membeli peralatan baru menenun songket di rumah baru mereka kelak,” katanya.


Zoo Kemaman terima 5,000 pelawat sebulan.

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Zoo di Kemaman menerima 5,000 pelawat sebulan sejak ia dibuka sepenuhnya tahun lalu.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, seramai 19,899 orang telah berkunjung ke zoo berkenaan berbanding tahun lepas seramai 59,066 orang,” katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas-Batu Burok) di sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Manakala pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berjaya membuat kutipan hasil tahun lalu mencecah RM490,699 dan kutipan tiga bulan pertama tahun ini adalah RM188,317.

Beliau kemudiannya menyangkal dakwaan pihak pembangkang, bahawa kerajaan belanja terlalu besar untuk memelihara binatang daripada menjaga kebajikan rakyat.

“Perbelanjaan pembinaan untuk zoo yang bermula sejak 1998 adalah RM9 juta dan tambahan RM5 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini (2011/2012) untuk menyiapkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai yang berkunjung ke zoo itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah RM14 juta,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pemimpin pembangkang belajar berfikir secara positif serta menilai secara teliti terhadap usaha kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Katanya, kini pihak zoo telah menjadi ‘parnership’ Jabatan Perhilitan dengan membekalkan beberapa jenis binatang secara percuma dan setakat ini 12 ekor singa telah dihantar ke zoo manakala tapir dan orang utan juga akan dihantar.

Menurutnya pelawat datang ingin melihat secara dekat pelbagai binatang yang ada di zoo dan tidak pernah dilihat di mana-mana pun dan sambil itu mereka turut berbelanja di kedai-kedai makan dan membeli cenderahati di kedai kepunyaan penduduk tempatan.

“Ini merupakan strategi kerajaan melakukan penambahbaikan bagi menarik orang datang ke tempat kita, jangan asyik fikirkan yang buruk saja,” katanya.

Saya minta pemimpin pembangkang cuba ubah cara berfikir untuk jangka masa panjang, hari ini betul kita ada hasil minyak dan gas untuk membantu rakyat dan anak-anak kita sambung belajar tapi suatu masa mungkin minyak dan gas sudah tidak ada lagi.

Kita ingin melihat Terengganu terus dikunjungi orang ramai untuk masa-masa akan datang dengan menyediakan pelbagai perancangan termasuk dalam bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan baru negeri.