Halaman

26 April 2012

Zoo Kemaman terima 5,000 pelawat sebulan.

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Zoo di Kemaman menerima 5,000 pelawat sebulan sejak ia dibuka sepenuhnya tahun lalu.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, seramai 19,899 orang telah berkunjung ke zoo berkenaan berbanding tahun lepas seramai 59,066 orang,” katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas-Batu Burok) di sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Manakala pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berjaya membuat kutipan hasil tahun lalu mencecah RM490,699 dan kutipan tiga bulan pertama tahun ini adalah RM188,317.

Beliau kemudiannya menyangkal dakwaan pihak pembangkang, bahawa kerajaan belanja terlalu besar untuk memelihara binatang daripada menjaga kebajikan rakyat.

“Perbelanjaan pembinaan untuk zoo yang bermula sejak 1998 adalah RM9 juta dan tambahan RM5 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini (2011/2012) untuk menyiapkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai yang berkunjung ke zoo itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah RM14 juta,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pemimpin pembangkang belajar berfikir secara positif serta menilai secara teliti terhadap usaha kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Katanya, kini pihak zoo telah menjadi ‘parnership’ Jabatan Perhilitan dengan membekalkan beberapa jenis binatang secara percuma dan setakat ini 12 ekor singa telah dihantar ke zoo manakala tapir dan orang utan juga akan dihantar.

Menurutnya pelawat datang ingin melihat secara dekat pelbagai binatang yang ada di zoo dan tidak pernah dilihat di mana-mana pun dan sambil itu mereka turut berbelanja di kedai-kedai makan dan membeli cenderahati di kedai kepunyaan penduduk tempatan.

“Ini merupakan strategi kerajaan melakukan penambahbaikan bagi menarik orang datang ke tempat kita, jangan asyik fikirkan yang buruk saja,” katanya.

Saya minta pemimpin pembangkang cuba ubah cara berfikir untuk jangka masa panjang, hari ini betul kita ada hasil minyak dan gas untuk membantu rakyat dan anak-anak kita sambung belajar tapi suatu masa mungkin minyak dan gas sudah tidak ada lagi.

Kita ingin melihat Terengganu terus dikunjungi orang ramai untuk masa-masa akan datang dengan menyediakan pelbagai perancangan termasuk dalam bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan baru negeri.