Halaman

24 April 2012

Sidang Dun : Tangani `Parti Ajaran Sesat' melalui parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri giat memerangi penyelewengan, pembohongan dan penyalahgunaan fakta berhubung Islam yang dicetuskan puak Pas menerusi tindakan parti politik.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata kerajaan melihat isu Pas (Parti Ajaran Sesat) berkait rapat dengan politik kerana parti itu mempolitik dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

 “ Maka dalam keadaan sedemikian adalah kurang bijaksana jika kerajaan mengambil tindakan menerusi proses pentadbiran (kerajaan)..kerana nanti orang akan mengatakan kerajaan mengambil tindakan kepada parti ini untuk mengekalkan kuasa kerajaan. Oleh kerana itulah ia juga dibuat penjelasan semula melalui tindakan politik,” katanya menjelaskan soalan tambahan Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang memohon penjelasan mengenai banyak sepanduk dipasangkan di tepi jalan seluruh negeri ini yang mengatakan Pas sebagai `Parti Ajaran Sesat’.

Beliau yang juga wakil BN-Batu Rakit berkata, parti kerajaan mengambil tindakan menerusi ceramah bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai parti pembangkang itu yang memperjuangkan agama Islam dengan cara tidak betul atau dengan istilah lain `sesat’.

 “Inilah akibatnya apabila kita mempolitikkan agama. Saya juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa agama Islam merangkumi politik, berniaga, makan, beristeri dan sebagainya. Tetapi tidak semua perkara-perkara dalam politik, berniaga dan sebagainya adalah agama.

 “Kalau saya sebut ayam bertelur tidak semua telur itu telur ayam..mungkin telur itik, telur ular..mungkin telur biawak tetapi ayam memang bertelur. Begitu juga dengan kes ini. Agama merangkumi semua perkara dalam kehidupan kita. Tetapi bukan semua dalam kehidupan kita ini berkait dengan agama. Sembahyang…betul agama. Makan..itu hal dunia. Begitu juga politik..pentadbiran dunia, tetapi agama ajar kita berpolitik dan agama juga mengajar macam mana hendak makan” katanya lagi.

Selain itu, usaha kerajaan memerangi agenda pembangkang sebagai satu `Parti Ajaran Sesat’ ini merupakan tindakan bijak bagi menjaga kesucian agama yang dipolitikkan oleh puak itu sehingga menimbulkan banyak kerosakan dalam masyarakat kini.

“Sebagaimana yang dinyatakan oleh wakil Hulu Besut tadi, kita sembahyang Jumaat dua (solat) dalam satu kampung yang kecil kadang-kadang berlawan baca khutbah, kita tidak ikut arahan, walaupun arahan yang baik dan tidak bertentangan dengan agama,” katanya.