Halaman

26 April 2012

Generasi muda suarakan hak ikut saluran betul

Oleh: Aida Abd Rahman

Budaya berdemonstrasi bukan cara masyarakat kita, sebaliknya generasi muda perlu menggunakan saluran perundangan serta menggunakan wakil yang berkelayakan menyuarakan hak dan pendirian mereka kepada pihak berwajib.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Perhubungan Terengganu, Puan Nordiana Shafei, berkata tindakan mengadakan bantahan menerusi demonstrasi itu hanya menimbulkan keadaan huru-hara bukan menyelesaikan masalah apatah lagi perkara itu didalangi pihak penentang kerajaan.

“Mereka (pembangkang) mahu melepaskan hajat dan perancangan politik, membangkitkan kemarahan rakyat sehingga sanggup memutarbelitkan fakta sebenar kerana tiada isu yang boleh dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

“Walhal, dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini, kita juga dimaklumkan ketika mahu diwujudkan dulu, pemimpin pembangkang Lim Kiat Siang (DAP) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR) antara orang yang bersetuju menubuhkannya untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Selain Anwar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika PTPTN ditubuhkan, Kit Siang (Penasihat DAP) dan anaknya, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1997 bersetuju dengan penubuhan PTPTN malah meminta peruntukan awal RM100 juta ditingkatkan kepada RM1 bilion.

Sokongan Kit Siang dan Guan Eng tercatat dalam rekod sidang Parlimen kesembilan, penggal ketiga, ketika mereka membahaskan isu penubuhan PTPTN jam 3.13 petang pada 14 Mei 1997 bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, Puan Nordiana juga sependapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa PTPTN begitu signifikan dan penting dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Pusat membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Katanya, sekiranya ada golongan yang tidak bersejutu dengan pelaksanaan PTPTN yang sudah terbukti memberi manfaat kepada ramai rakyat yang kini menjadi orang penting dan berpengaruh di negara ini, mereka yang menentang itu perlu memulangkan wang PTPTN berkenaan.