Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membidas tindakan penganjur kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012 yang dikatakan bersikap `desperado’ kerana mengugurkan acara kanu dalam temasya sukan ke-15 pada Julai ini selepas tercabar dengan penguasaan Terengganu menerusi acara itu, sekaligus muncul juara Sukma 2011 buat kali ketiga berturut-turut.
“Jangan kerana bimbang Terengganu menang, banyak mata ketinggalan (berbanding Terengganu) mereka (penganjur) batalkan. Ini yang dikatakan `desperado’ sukan,” katanya di sidang media sempena Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin.
Untuk rekod, Terengganu memenangi 12 emas, dua perak dan dua gangsa dalam acara kanu di Sukma Kuala Lumpur tahun lalu daripada keseluruhan kutipan 50 pingat . (30 emas, lapan perak dan 12 gangsa).
“Adakah kerana Terengganu mendominasikan sukan ini menyebabkan acara yang sepatutnya ada, tidak diadakan. Adakah kerana kita jadi juara, kita rasa kalau kita ada kanu, negeri lain tidak akan juara? Itu tidak betul..sebab itu kita perlu rasional. Contohnya, ketika kita menjadi tuan rumah (Sukma 2008), taekwando bukanlah suatu perkara yang mendatangkan pingat buat Terengganu tetapi kita terus adakan sebab ini sukan berprestasi tinggi.
“Ini satu perkara yang tidak rasional, kerana dia tahu bahawa kanu adalah sukan yang berprestasi tinggi. Di Sukan Sea ada kanu. Yang agak malang kerana peringkat negara-negara Asia..sukan Sea diadakan (kanu). Bagaimana kita hendak memilih atlet kanu kita mewakili negara, sekiranya peringkat negara kita tidak ada.. Ini suatu perkara yang tidak munasabah sama sekali,” katanya.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri pernah mengusulkan perkara itu kepada kementerian dan pihak penganjur bagaimanapun wujudnya `desperado’ ini menyebabkan sukan itu kekal untuk tidak disenaraikan dalam temasya Sukma akan datang.
Katanya, jika negeri lain mahu memastikan penguasaan mereka dalam sukan kanu umpamanya, mereka perlu berlatih bersungguh-sungguh dan bukan menggugurkan acara itu dalam Sukma akan datang.Ketika ditanya kesan pendirian tegas beliau dengan kenyataan itu yang mungkin membawa kepada tindakan pihak lain `memboikot’ pasukan Terengganu, beliau tidak bimbang dengan situasi itu kerana bertegas dengan sikap penganjur yang tidak rasional dalam membuat keputusan.
“Ini sukan beprestasi tinggi, hendak pilih atlet negara mesti melalui Sukma. Menang Sukma baru boleh mewakili negara, ini Sukma tiada (kanu) macam mana hendak pilih. Ini menyebabkan sukan di Malaysia tidak berjaya kerana terlalu banyak main politik dalam sukan. Campur tangan tidak boleh, kritik tidak boleh..payahlah kita macam ini,” katanya.
Sebelum itu, beliau berkata Terengganu ketika menganjur Sukma 2008 juga menyenaraikan beberapa sukan berprestasi tinggi lain seperti renang, lawan pedang dan gimnastik walaupun mengetahui sukan berkenaan kurang popular dan bukan sandaran kutipan pingat kepada tuan rumah ketika itu.
Beliau berkata, Sukma terdahulu juga menyaksikan Terengganu memenangi sukan berprestasi tinggi yang objektif dan bukan subjektif seperti acara yang boleh dipertikaikan dari segi permarkahannya seperti sukan olahraga.
“Kita perlu berusaha..Sebagai contoh, judo bukanlah suatu sukan yang hebat di negeri ini. Benda baru. Biasanya yang menyertai sukan ini dari kalangan Cina, India, tetapi apabila kita latih anak Terengganu, kita panggil jurulatih hebat..jurulatih kebangsaan melatih kita, pada tahun lepas kita berjaya mendapat tujuh pingat emas.
“Semasa penyerahan bendera, dia (pengurus kanu) kata hendak sasarkan tujuh (pingat emas), saya tidak percaya..Saya kata betul ke tidak awak ni..Saya sendiri (pada awalnya) tidak yakin kerana judo bukanlah sukan popular di Terengganu, tetapi dengan latihan..dengan semangat yang kita ada.. jurulatih hebat kita ada kita boleh berjaya,” katanya.
Menurutnya, keputusan tidak menyenaraikan sukan kanu antara tindakan yang mencerminkan penganjur tidak berani mengambil cabaran, malah membantutkan usaha kerajaan bagi melahirkan atlet negara yang hebat dan berjaya di peringkat antarabangsa dalam acara itu.