Halaman

25 April 2012

Penjawat awam diminta jadi jentera pelaksana

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini diminta menjadi jentera pelaksana yang sentiasa berada beberapa langkah di hadapan supaya tiada ruang untuk di cemuh rakyat sebagai satu organisasi yang ketinggalan zaman.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka perlu bersiap sedia menghadapi cabaran di samping bijak menyelesaikan masalah pelbagai perkara terutama berkaitan karenah birokrasi.

Katanya, pihaknya mengakui Terengganu masih jauh ketinggalan berbanding negeri maju lain seperti Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

“Di negeri-negeri maju, kerajaan hanya perlu menjadi jambatan atau pemudah cara untuk melunaskan hajat pelabur-pelabur untuk mendirikan industri dan hasilnya akan datang melalui cukai.

“Oleh itu, amatlah wajar pegawai-pegawai kerajaan meningkatkan ilmu dan kecekapan mereka dengan mempelajari cara atau formula bekerja di negeri membangun dengan mengadaptasikan kaedah dan gerak-kerja itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku 4 Tahun Menunaikan Amanah, Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Penasihat Undang-undang Negeri, NoorBahri Baharuddin.

Menurutnya, penjawat awam tidak perlu malu untuk menimba ilmu kerana ia untuk kepentingan bersama dalam membantu meningkatkan hasil kerajaan negeri.

“Saya menggalakkan kakitangan kerajaan mengambil inisiatif untuk menyambung pelajaran atau menghadiri kursus-kursus yang fokus kepada tanggungjawab hakiki atau mencari pengalaman melalui program pertukaran antara jabatan-jabatan persekutuan,” katanya.

Katanya, masa kerajaan yang memerintah terbatas kepada 5 tahun dan dalam tempoh ini, hukuman atau sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah bergantung kepada kecekapan anggota-anggota kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

“Dalam tempoh 5 tahun ini kerajaan perlu memastikan segala janji yang dibuat kepada rakyat dapat ditunaikan. “Prestasi kerajaan sentiasa dipantau oleh rakyat kerana mereka mahukan yang terbaik dan tidak akan berpuas-hati dengan perkhidmatan yang diberi,” katanya.