Tiga tonggak utama pasukan Terengganu mungkin tidak dapat beraksi pada perlawanan pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang pasukan Song Lam Nghe An dari Vietnam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.
Mereka ialah penyerang Abdul Manaf Mamat, Abdul Syukor Jusoh dan kapten pasukan Sharbinee Allawee yang mengalami kecederaan ketika menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA Sabtu lalu.
Ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris berkata, bagaimana kedudukan Sharbinee akan diputuskan kelak sama ada dapat beraksi atau sebaliknya.
Katanya walaupun kehilangan tiga tonggak, beliau tetap akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik.
"Pada perlawanan malam esok, kita telah membuat beberapa perubahan dari segi permainan dan beberapa formasi baru.
"Saya harap perubahan dan sentuhan yang dilakukan itu akan menjadi dan peluang itu akan digunakan sepenuhnya oleh anak buah saya untuk mengekalkan kemenangan dan memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Pada perlawanan bulan lalu, Terengganu menewaskan kelab Vietnam itu menerusi jaringan tunggal Abdul Manaf.
Terengganu yang ditempatkan dalam Kumpulan F kini memperoleh enam mata hasil dua kali menang dan dua kali kalah. Pasukan lain dalam kumpulan itu ialah Kitchee dari Hong Kong dan Tampines Rovers dari Singapura.