Halaman

26 April 2012

Kesan buruk jika ketat syarat perkahwinan warga asing

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak berhasrat mengenakan syarat yang ketat untuk menghindari wanita negeri ini daripada mengahwini warga asing bagi mengelak peningkatan kes penceraian berikutan tindakan itu hanya akan mengundang kepada kesan sampingan lain yang lebih buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata tindakan kerajaan mengetatkan syarat perkahwinan wanita negeri ini dengan warga asing boleh mengundang kepada risiko mereka dibawa lari ke negara asing akibat kesukaran memproses perkahwinan di negeri ini.

“Kerajaan berpendapat, kes penceraian wanita Terengganu dengan warga asing ini tdak mempunyai bilangan yang besar. Ada pelbagai risiko kalau hendak buat apa yang dicadangkan YB Jabi (Ramlan) tadi (mengetatkan syarat perkahwinan).

“Kalau kita nak `menyukarkan’ perkahwinan wanita negeri kita dengan warga asing nanti dia buat lari kahwin di kampung dia..lagi payah kita nanti. Cadangan ini perlu dipertimbangkan semula,” katanya sebagai mengulas soalan tambahan dikemukakan Haji Ramlan Ali (BN-Jabi), di persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Sebelum itu, Haji Khazan menjelaskan bahawa punca penceraian menerusi kajian dan data Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) menerusi pengurusan kes, faktor suami atau isteri tidak bertanggungjawab menyumbang 32 peratus, iaitu kadar tertinggi punca penceraian di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Katanya, punca kedua adalah akibat campur tangan pihak ketiga ( 23.8 peratus), masalah akhlak atau sosial seperti lari dari rumah (15.7 peratus), masalah komunikasi dan salah faham (9.9 peratus).

"Punca-punca lain, lemah didikan agama (7.5 peratus), masalah ekonomi menyumbang lima peratus dan hal-hal lain melibatkan enam peratus," katanya.

Selain itu, JHEAT merekod sebanyak 10,982 pendaftaran perkahwinan pada tempoh yang sama di negeri ini.

Haji Khazan berkata, kerajaan negeri menerusi JHEAT dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) melaksanakan pelbagai program secara intensif kepada pasangan yang bakal melalui fasa perkahwinan bagi mengelak berlaku penceraian terutama pasangan yang baru berkahwin.

“ Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kes penceraian dan sebab itu pelbagai program dirancang serta difikirkan termasuk menimbang pelbagai cadangan pihak lain bagi mengelak perkara itu terus meningkat.

“Antara langkah kita menganjurkan kursus pra perkahwinan kepada pasangan muda bagi memberi kefahaman mengenai tanggungjawab, apa yang bakal dihadapi dalam dunia perkahwinan dan cabaran di alam itu,” katanya.

Katanya, YPK juga mengadakan kursus untuk pasangan berkhwin dalam tempoh masa tertentu yang bertujuan menguatkan hubungan antara suami isteri, selain JHEAT menganjurkan program pendidikan di masjid dan surau.