Halaman

28 April 2012

Amalan bertindik erat silaturahim langkaui batas politik

Oleh: Aida Abd Rahman

Tradisi bertindik beramai-ramai yang hampir dilupakan masyarakat Melayu wajar dihidupkan semula. Malah, tiada maknanya kemodenan dan pembangunan sekiranya kita meninggalkan tradisi nenek moyang kita sebagai lambang identiti budaya kita, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis bertindik kanak-kanak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Dataran JKKK Wakaf Mempelam, petang ini.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah; Ketua Pergerakan Pemuda Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki dan pemimpin setempat.



Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, amalan bertindik mampu mengeratkan hubungan silaturahim, malah memeriahkan lagi suasana sekaligus membentuk perpaduan tanpa mengira fahaman politik.

Beliau kemudiannya menabur beras kunyit sebagai gimik perasmian ke arah kira-kira 300 kanak-kanak yang menyertai perkhidmatan secara percuma itu.

Sebelum itu, semua kanak-kanak berkenaan menerima `duit poket’ RM20 seorang daripada Menteri Besar.

Seorang peserta, Norasma Natasya, 9, dari sekolah Kebangsaan Padang Midin, teruja dapat menyertai program itu bersama rakan sebaya yang lain.

“Saya rasa sedikit gementar kerana pertama kali bertindik, tetapi tidak sabar untuk bersama-sama kawan-kawan lain dan mengenakan subang di telinga saya nanti. Rasa lebih dewasa dan cantik,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nur Safia Damia Anuar, 9 dari Sekolah Kebangsaan Durian Burung, pula seronok menyertai program itu bersama dua sepupu yang lain, apatah lagi diraikan oleh pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya rasa sangat seronok kerana hari ini bukan sahaja dapat bertindik percuma, malah diberi pula RM20 oleh Menteri Besar..dapatlah guna untuk belanja sekolah nanti. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Sejurus perasmian itu, Menteri Besar menunaikan solat berjemaah di Masjid Tok Jamal dan kemudiannya bergegas ke program penyampaian hadiah pertandingan memancing di Sungai Rengas.

Selesai program itu, beliau ke program penyampaian hadiah futsal tertutup DUN Wakaf Mempelam dan pertandingan wau.

Sebelum itu, Program Sehari Menteri Besar Bersama Rakyat DUN Wakaf Mempelam bermula dengan lawatan ke rumah beberapa penduduk sekitar yang uzur dan warga emas, selain turut menyempurnakan penyampaian bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penduduk di Masjid Losong Dato’ Amar.