Halaman

25 April 2012

59 pelumba jetski sertai cabaran Terengganu World Invitational Jetrace

Oleh FAUZI MOHD



Kejohanan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge di Pantai Batu Buruk mulai Jumaat ini bakal disertai 59 pelumba yang akan bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai RM180,000.

Selain Malaysia, kejohanan jetski bertaraf dunia selama tiga hari itu akan disertai pelumba dari 10 buah negara iaitu Australia, Perancis, Thailand, Britain, Jepun, Brunei, Finland, Greece dan Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, kejohanan jetski yang masuk tahun ketiga itu melibatkan sembilan kategori pertandingan.

Katanya, program anjuran kerajaan negeri dan Kelab Marina Terengganu itu mampu melonjakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan popular di peringkat antarabangsa.

“Selain kategori Pro-AM Runabout, Expert Runabout dan Master Runabout, perlumbaan kelas Endurance satu acara lasak dengan mengambil masa tidak kurang dari 1 jam 15 minit dengan hadiah kejohanan tertinggi, RM18,000.

“Peserta akan melalui cabaran di kawasan litar terbuka antara Pantai Batu Buruk dan perairan menghala ke Pulau Kapas dengan meredah ombak, arus dan angin laut,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, dekat sini hari ini.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, kejohanan itu turut menerima beberapa juara dunia sukan jetski yang dapat memberi suntikan semangat seperti juara dari Perancis, Mehdi Menad, Seth Wilkinson (Britain), Toshi Ohara (Jepun) dan Supak Settura (Thailand).

“Turut memberi saingan, pasangan adik beradik dari Terengganu serta 29 lagi pencabar lain dari seluruh negara,” kata beliau.

Menurut beliau, dalam usaha membudayakan sukan itu di negeri ini, elemen hiburan dan santai akan turut disediakan bagi penglibatan pelbagai peringkat usia sebagai satu tarikan.

"Selain perlumbaan jetski, aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan layang-layang, bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sukan berkuda,” jelasnya.