Halaman

22 April 2012

Terengganu berdepan laluan getir, peluang belum tertutup

Oleh FAUZI MOHD



Juara Piala FA musim lalu, Terengganu berdepan tugas getir untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi menjelang perlawanan separuh akhir kedua 1 Mei ini setelah tersungkur di laman sendiri, 1-2 kepada Sime Darby malam tadi.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris mengakui laluan skuad bimbingannya cukup berliku untuk mencapai misi kemenangan 2-0 di gelanggan lawan bagi membolehkan Terengganu layak ke pentas akhir.

Katanya, sejarah kemenangan lalu yang dirangkul gergasi bola sepak Pantai Timur itu bukan sesuatu yang boleh dicongak dengan mudah.

“Peluang belum tertutup buat Terengganu. Jangan membuat ramalan mudah dengan memberi percaturan bahawa Terengganu sudah kalah.

“Sebagai pasukan dan pemain-pemain yang sudah masak berdepan situasi seperti ini, kita akan perbetulkan kedudukan untuk berdepan baki 90 minit perlawanan kerana ‘game’ ini belum tamat,” katanya kepada pemberita di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasukan pelawat, Sime Darby yang turun sebagai pasukan bukan pilihan melakukan mengejutkan penyokong ‘Hitam Putih’ pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dengan mengalahkan Terengganu.

Sime Darby berada di depan hasil jaringan pemain import dari Liberia, Patrick Ronaldinho yang melakukan rembatan menewaskan penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alwi pada minit ke-52.

Keputusan berubah pada minit ke-65 apabila penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran Joseph Kalang Tie dengan melakukan rembatan kencang di hadapan pintu gol lawan.



Pada masa kecederaan, Sime Darby sekali lagi berada di depan dan berjaya membawa pulang bekalan gol menjelang perlawanan separuh akhir kedua selepas memperoleh jaringan kedua melalui Syukor Saidin.