Halaman

25 April 2012

Pas gagal pujuk rakyat sertai demo haram

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pas gagal meraih sokongan penduduk tempatan untuk menyertai demonstrasi haram di depan Wisma Darul Iman, yang kononnya menuntut keadilan berhubung pengambilan balik tanah di beberapa kawasan di negeri ini.



Perhimpunan itu yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat, hanya mampu menghimpun kira-kira 1,000 penyokong Pas dengan sebahagiannya ‘diimport’ dari negeri-negeri lain, termasuk Kelantan.



Teganukita difahamkan, mengikut perancangan asal parti itu mahu mengumpulkan 50,000 orang di depan Wisma Darul Iman bagi menarik perhatian ketua-ketua jabatan dan pemerhati yang mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Bagaimanapun, ia gagal menarik sokongan orang ramai yang semakin muak dengan sikap pembangkang yang mahu menimbulkan suasana tidak aman dan menganggu keselamatan negeri dan negara.

Perhimpunan itu dianjurkan Pas kerana kononnya kerajaan negeri bertindak menindas rakyat dalam beberapa isu pengambilan balik tanah di Paka, Setiu dan Kuala Nerus, sedangkan hakikat sebenar ia dilakukan mengikut prosedur dan tidak menganiayai mana-mana pihak.

Bahkan, kerajaan negeri memberikan pampasan yang setimpal kepada beberapa penduduk kampung yang terlibat dengan pengambilan balik tanah yang dilakukan bagi kepentingan umum.

Perhimpunan haram itu menyerlahkan sikap sebenar pemimpin Pas yang cuba menjadi jaguh dengan mengabui mata rakyat, tetapi pada yang sama menyembunyikan fakta sebenar.

Sebenarnya tidak timbul isu kezaliman berhubung pengambilan balik tanah yang didakwa pembangkang, tetapi disebabkan mereka ‘tidak ada kerja’ untuk dibuat, mereka mencipta isu bagi menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam hal ini, kita semua patut memuji Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, yang berjiwa besar memberi persetujuan untuk melayani kerenah pemimpin Pas yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan haram itu.

Di sebalik kesibukan menunaikan amanah membangunkan negeri ini, termasuk menghadiri sidang DUN, beliau dengan dada lapang dan penuh keikhlasan, sanggup menerima kehadiran Satiful Bahri, bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu tanah tersebut.

Dato’ Seri Ahmad tidak melenting, sebaliknya dengan wajah manis dan sentiasa tersenyum, menerima kehadiran Satiful Bahri dan rombongan serta memberi jaminan akan mengkaji memorandum berkenaan.

Tidak ada maki hamun dan kata nista dilemparkan Menteri Besar kepada pemimpin Pas walaupun sebelum itu, di depan Wisma Darul Iman, pemimpin Pas tanpa segan silu memaki hamun pemimpin Umno termasuk melaungkan: “Hancur Umno, hancur BN”.

Itulah beza antara pemimpin Umno dan BN yang berjiwa besar dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat berbanding pemimpin Pas yang gemar memaki dan mencerca pemimpin Umno dan BN, tanpa sebab yang munasabah.