Halaman

23 April 2012

MB kesal kes dera kanak-kanak

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kesal dengan kes dera kanak-kanak berusia dua tahun dari Kampung Tualang, Manir, yang dipercayai ditampar dan dipukul teman lelaki ibunya, Sabtu lalu.



Mangsa, Muhammad Danish Aiman Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan membuang darah beku dan pendarahan otak di kepala.

Menteri Besar yang melawat mangsa petang ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga.

“Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

“Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa sepanjang menjalani rawatan di hospital itu.

“Pihak kami meminta pihak berkuasa segera menahan suspek supaya tindakan atau hukuman setimpal dapat dikenakan.

“Jenis hukuman atau tempoh beberapa lama yang bakal dikenakan terhadap suspek, diharap dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Dato' Jamshah Mustapa, berkata pihaknya kini giat memburu suspek iaitu seorang penganggur, Azhar Jusoh, 31, yang melarikan diri selepas mengetahui ibu mangsa membuat laporan di pondok polis HSNZ.

Katanya, suspek yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman penjara dan dibuang daerah akibat pelbagai kesalahan jenayah, termasuk kes curi, samun, rusuhan, dadah dan culik dipercayai masih berada di Terengganu.

“Kita minta kerjasama dan bantuan orang ramai yang mengenali Azhar supaya tampil membuat laporan di balai polis berdekatan untuk memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggap kejadian seumpama itu cukup kejam, zalim dan sangat serius.

“Suspek yang berfikiran waras tidak wajar memperlakukan tindakan sedemikian terhadap Muhammad Danish kerana kanak-kanak itu tidak mahu melawan,” katanya.