Halaman

28 April 2012

Rakyat di kawasan pembangkang mula sedar- MB

Oleh: Suriati Ali

Penduduk di kawasan yang dikuasai pembangkang rata-rata sudah bersedia memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), bagi memastikan arus pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka yang berada kawasan itu mula sedar bahawa wakil rakyat Pas gagal berkhidmat untuk melaksanakan pembangunan dan kebajikan walaupun pernah diberi peluang memerintah Terengganu.

“Apa yang wakil rakyat Pas lakukan dari dulu sampai sekarang? Kita akan buat lebih lagi jika BN menang di Wakaf Mempelam kali ini.

“Inilah peluang terbaik yang sewajarnya dimanfaat rakyat, sama ada memilih untuk terus hidup terseksa di bawah pembangkang atau hidup selesa di bawah kepimpinan BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balairaya Paloh Sungai Kiat, Wakaf Mempelam, hari ini.



Hadir sama, Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato' Wan Farid Wan Ahmad dan beberapa pemimpin setempat.

Majlis perasmian itu antara agenda yang dimuatkan sempena Program Sehari Menteri Besar Bersama Rakyat DUN Wakaf Mempelam.

Sebelum itu Menteri Besar turut meluangkan masa melawat rumah beberapa penduduk kampung yang uzur dan warga emas yang memerlukan rawatan dengan menyampaikan sedikit sumbangan.



Selepas itu terus bergegas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penerima di Masjid Losong Dato’ Amar.



Katanya, Umno dan BN banyak berjasa kepada penduduk di kawasan itu sejak dahulu hingga sekarang dan mereka perlu bersyukur dengan pemberian kerajaan. ,” katanya.
Kerajaan BN tidak pernah berbohong dan kita akan kotakan segala janji,” katanya.


Katanya, tahun ini kerajaan tambah peruntukkan bagi bantuan baiki rumah atap biru kepada RM1 juta bagi setiap DUN berbanding tahun sebelumnya RM60,000 setiap DUN.

“Macam-macam kita laksanakan, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan persekolahan dan sebagainya. Kita tetap beri dan prihatin, walaupun penduduk itu berada di kawasan pembangkang.

Beliau turut menjanjikan projek rumah flat atau rumah mampu milik sebanyak 1,000 unit akan dibina di kawasan DUN Wakaf Mempelam jika BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Projek itu akan dibina di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Paya Padi iaitu berdekatan dengan kampung Kubang Parit,” katanya.