Halaman

25 April 2012

Olimpian veteran tidak dilupakan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf sumbangan atlet muda yang menempa nama di pelbagai peringkat, malah bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa juga tidak pernah diabaikan.



Ini terbukti apabila lima anak Terengganu yang pernah mewakili negara di Sukan Olimpik bermula 1960 hingga 1996 lalu dihadiahkan insentif khas berjumlah RM5,000 seorang yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat di Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, kelmarin (22 April).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Lima bekas atlet berkenaan, Allahyarham Kamaruddin Maidin (olahraga), pemain bola sepak Harun Jusoh (Munich, Jerman 1972), Yahaya Jusoh dan Zulkefle Hamzah (Moscow, Russia 1980) serta Chairil Anwar Aziz (Atlanta, Amerika Syarikat 1996 dan Sydney, Australia 2000).

Allahyarham Kamaruddin Maidin diwakili isteri, Rajemah Sheikh Ahmad.

Sementara itu, Harun Jusoh, 65, berkata dia tidak menduga akan dihubungi pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi tujuan menyerahkan ganjaran khas itu.Katanya, dia begitu terharu dan bangga dengan komitmen kerajaan negeri kerana mengiktiraf sumbangannya ketika membawa Terengganu ke pentas dunia pada era 1970-an.

“Saya tidak sangka ada pihak yang masih mengingati orang lama seperti kami. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan hadiah Kerajaan Terengganu pada malam ini yang membuktikan jasa kami tidak pernah dilupakan walaupun hampir 50 tahun `menutup buku ' dari arena bola sepak,"katanya.

Kegembiraan dan rasa terharu itu turut dikongsi adik harun, Yahaya, 60, yang kini sedang menjalani rawatan terapi secara intensif disebabkan penyakit lumpuh sejak tiga tahun lalu.

“Sudah lama tiada pihak yang menjemput kami dan menghubungi kami dalam majlis rasmi seperti ini, apatah lagi menyediakan ganjaran khas seperti ini.

“Terima kasih Menteri Besar dan semua pihak yang tidak pernah terlepas pandang. Saya yakin dengan dasar dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan negeri terutama bola sepak, bidang itu akan terus maju di negeri ini,” kata pemain seangkatan Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari itu lagi