Halaman

26 May 2012

Kem Kesihatan di Pulau Perhentian didik penduduk jaga kebersihan


Oleh: Mohammad Ishak 

Program Kem Kesihatan yang berlangsung tiga hari di pusat peranginan terkenal Pulau Perhentian bukan sahaja mengajak penduduk mengikuti aktiviiti sosial malah ia turut memberi pendidikan terhadap usaha menjaga kesihatan dan kebersihan.

Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang bertindak selaku penganjur utama berjaya menarik minat penyertaan komuniti khususnya penduduk di pulau pelancongan itu menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tempoh program.

Sempena berlangsung kem itu pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk kempen mengutip sampah, gotong royong bersih kawasan pulau,sukaneka dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, merasmikan kem berkenaan.

Dr A Rahman berkata, kem itu juga menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke pulau itu kerana mereka dapat menyaksikan sendiri penduduk negeri ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama agensi kerajaan

Katanya, penyertaan beberapa agensi kerajaan menandakan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan program itu. Beliau berharap penduduk yang tinggal di pusat pelancongan terkenal itu sentiasa menjaga kebersihan kerana ia akan mencerminkan keindahan dan kebersihan terutama dikalangan pelancong asing.

Program Gotong Royong PMINT Bersama Warga Taman Permint Perdana Fasa 1

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah mengadakan program Gotong Royong Bersama Warga Taman Permint Perdana 1, Kampung Batin, Seberang Takir sebagai salah satu usaha menunaikan tangungjawab sosial dan korporat PMINT kepada rakyat Terengganu khususnya warga Taman Permint Perdana, baru-baru ini.

Seramai 250 orang wargakerja PMINT bersama warga Taman Permint Perdana keluar bersama-sama membersihkan kawasan sekitar taman. Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri,

"Program gotong royong ini diharapkan agar dijadikan program yang berterusan sama ada oleh PMINT dan juga komuniti setempat kerana melaluinya dapat memupuk semangat 1 komuniti yang padu serta kesedaran menjaga kebersihan taman demi kepentingan bersama", katanya.


Beliau yang turut diiringi Pengurus Besar PMINT, Dato' Haji Osman Muda, ke lokasi gotong royong untuk menyempurnakan gimik perasmian program iaitu menanam papan tanda nama jalan taman.

Turut hadir sama menjayakan program ialah YB. Haji Ahmad Razif Abd. Rahman, ADUN Seberang Takir; Encik Zakaria Talib, Pengerusi JKK Ulu Takir serta Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.



Program yang bermula jam 7.45 pagi dan berakhir jam 1.00 petang dimeriahkan lagi dengan penyediaan jamuan tengahari.





Pelawat dan pelancong kunjung Pesta Pantai Terengganu

Pesta Pantai Terengganu (PPT) 2012 yang diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sejak semalam, menggamit ramai pengunjung, termasuk pelancong asing dan pelawat dari kluar Terengganu.

Pameran dan gerai-gerai jualan yang dibuka di kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong sejak awal pagi, kerana kebetulan cuti pertengahan tahun sekolah baru saja bermula.

Orang ramai mengambil kesempatan untuk membawa keluarga, khususnya anak-anak yang sedang bercuti sekolah untuk melawat pesta berkenaan.

Pesta Pantai Terengganu selama 10 hari yang akan berakhir 3 Jun depan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, malam tadi.

Pada malam ini acara dikir barat dan wayang kulit bakal menarik lebih ramai pengunjung ke tapak pesta.

Pelbagai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisonal yang jarang dilihat generasi sekarang akan dipamerkan sepanjang pesta itu bagi menarik minat pengunjung.



Pesta pantai lestari budaya silam

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berusaha mengembalikan kehebatan acara Pesta Pantai Terengganu pada zaman 70-an untuk diselami penduduk masa kini dengan memperkenalkan konsep `melestarikan budaya silam sebagai produk pelancongan’.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada awal 70-an hingga akhir 70-an lalu, sebaik pesawah selesai membanting tulang di sawah, mereka akan berkumpul dan berehat di pondok-pondok yang dibina di tepi pantai Batu Buruk bagi menikmati panorama indah sambil berhibur dengan permainan tradisi.


Katanya, selari dengan peredaran masa, acara yang digerakkan menerusi exco pelancongan itu akan diteruskan semula selepas sekian lama menyepi dengan memperkenalkan kesenian dari seluruh daerah untuk ditatapi penduduk seluruh Terengganu.

“Program ini menjadi satu produk pelancongan negeri yang mampu menggamit kehadiran pelancongan tempatan dan luar negara serta menjadi tulang belakang ekonomi, malah sumber pendapatan kepada negeri dan juga penduduk secara langsung,” katanya ketika merasmikan Pesta Pantai Terengganu, di Dataran Syahbbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus mengeksploitasi kelebihan alam semula jadi yang terdapat di Terengganu serta mewujudkan infra baru berkaitan pelancongan supaya mampu menarik kehadiran pelancong sekaligus menjayakan matlamat Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Terengganu mempunyai pantai yang paling panjang sejauh 244 kilometer. Pulau yang cantik, laut membiru dan tasik terbesar, Tasik Kenyir di Kuala Berang.

“Masih banyak yang perlu dieksploitasikan pada masa depan supaya supaya sektor pelancongan terus memangkin kepada sumber ekonomi negeri,” katanya.



Di majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad diarak masuk ke tapak program dengan menaiki beca berhias, diikuti gendang nusantara kesenian Besut dan pelbagai adat kemelayuan lain.

Persembahan perasmian dimulakan dengan Silat Kura-kura dari Hulu Terengganu dan Tarian Selamat Datang.

Perasmian majlis Pesta Pantai Terengganu 2012 yang bermula 25 Mei hingga 3 Jun kemudiannya disusuli dengan tembakan bunga api dalam tempoh 15 minit berlatar belakang pancaran cahaya bunyi.

Selain itu, pesta pantai bakal menjadi medan pertunjukan pelbagai warisan dan permainan tradisi masyarakat negeri ini seperti silat, gasing terbang, dikir barat, selain masakan kuih tradisional dan pembuatan emping ubi.








Maidam kutip zakat RM3.37 juta sehingga April lalu

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya mengutip zakat sebanyak RM3.37 juta sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya mensasarkan kutipan zakat RM100 juta tahun ini dan angka itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kutipan semasa yang semakin meningkat setiap bulan berbanding tahun lalu sebanyak RM84 juta.

“Zakat pendapatan dan perniagaan menjadi teras utama meningkatkan jumlah kutipan atau 23 peratus diikuti zakat wang simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi mencapai sasaran berkenaan unit promosi Maidam telah bergerak ke pusat-pusat membeli belah , pasar-pasar malam, institusi kerajaan untuk potongan gaji serta syarikat-syarikat yang baru dan lama.

“Di samping mengingatkan umat Islam terhadap tanggung jawab membayar zakat sama ada zakat pendapatan atau perniagaan juga membuat penilaian dan penjelasan kaedah pembayaran yang boleh dibuat oleh orang ramai,” katanya.

Katanya, ,Maidam telah mengubah dasar agihan bantuan bulanan kepada penerima yang layak mengikut kepentingan isu rumah dan mula dibayar pada Mac lalu.

“Sebelum ini kadar bantuan kepada asnaf ialah RM300 tanpa mengira jumlah tanggungan atau ahli isi rumah.

“Melalui kajian yang dibuat menunjukkan 80 peratus penerima adalah warga emas yang tinggal bersaorangan atau berdua manakala selebihnya ibu tunggal, keluarga miskin serta keluarga bermasalah yang mempunyai tanggungan ,” katanya dalam sidang media di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, dasar baru yang diguna pakai sekarang adalah RM250 bagi penerima seorang diri, RM350 tinggal berdua dan RM450 mereka yang mempunyai tiga hingga lima tanggungan.

Sehubungan itu , di bawah dasar baru berkenaan, Maidam telah menambah peruntukan bagi agihan bulanan kepada asnaf berjumlah RM7 juta berbanding RM6.8 juta tahun lalu.


25 May 2012

Karnival Bola Keranjang MCA Besut meriah


Oleh: Mohammad Ishak 

MCA Bahagian Besut dengan kerjasama Pergerakan Belia Malaysia (YMM) menganjurkan karnival bola keranjang peringkat daerah Besut sehari suntuk hari ini.

Karnival itu yang berlangsung di hadapan sebuah pasar raya Bandar Jertih disertai 15 pasukan dari sekitar daerah Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, diberi penghormatan merasmikan karnival seterusnya melakukan kemasukan bola ke dalam jarring sebagai simbolik.

Karnival itu bertujuan merapatkan hubungan antara ahli dan pemimpin MCA dengan golongan belia parti itu selain sebahagian aktiviti riadah. Idris ketika merasmikan karnival itu memuji usaha yang dilakukan pihak penganjur kerana ia dapat menjalin semangat kerjasama antara golongan dewa dalam parti berkenaan dengan remaja.

Malah,katanya, karnival itu turut mendapat perhatian masyarakat Melayu setempat yang hadir menyaksi aksi peserta yang menyertai karnival itu.

Beliau berharap, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) meningkatkan lagi program berbentuk riadah bagi menarik minat penyertaan komuniti setempat.

Idris yang juga Pengerusi BN Besut berkata, Umno dan MCA boleh bekerjasama menganjurkan aktiviti sukan bagi merapatkan lagi hubungan ahli-ahli BN bahagian Besut.

Wanita Umno DUN Jertih ziarah ahli


Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Wanita Umno Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih meneruskan tradisi membela ahli dengan melakukan program ziarah ke rumah ahli terutama mereka yang uzur dan sakit.

Program berbentuk turun padang itu bukian sahaja memberi peluang pemimpin parti peringkat DUN malah ia turut membabitkan pemimpin peringkat cawangan yang melakukan lawatan dari rumah ke rumah. Lawatan diketuai

Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Besut,Toh Puan Seri Hajah Wan Naimah Abdul Latif yang disertai ahli jawatankuasanya memilih ahli di kawasan DUN Jertih untuk sesi ziarah pertama itu.

Seramai 60 ahli yang uzur dan terlantar sakit di rumah masing-masing sempat dikunjungi oleh pemimpin pergerakan itu dalam tempot tiga hari program berkenaan berjalan.

Ketika berkunjung ke rumah ahli terbabit rombongan turut membawa bersama buah tangan dan wang untuk membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.

Wan Naimah berkata, rombongan amat terharu dengan mengadakan kunjungan seumpama itu terutama apabila menemui ahli yang terlantar sakit.

“Kunjungan itu menyedarkan kami sebagai pemimpin dan menjadi peringatan apabila melihat mereka yang sebelum ini aktif dalam parti tetapi kini tidak dapat bersama parti kerana uzur,” katanya.

Seorang ahli, Hasmah Che Ngah,58, dari Perumahan Awam Seberang Jertih, ketika menyambut kehadiran pemimpin terbabit kelihatan terharu kerana kehadiran mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu menyebabkan dia terkejut dan bercampur gembira dengan kehadiran pemimpin terbabit.

Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman tampung 30 pesakit

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Peruntukan dari Pejabat Daerah Kemaman hampir RM1 juta dibelanjakan untuk membaik pulih bangunan Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman sementara kos sebanyak RM500,000 lagi digunakan untuk membeli 10 unit mesin hemodialisis serta keperluan lain.

Kesungguhan Yayasan Buah Pinggang Kemaman (YBPK) untuk memberi harapan baru kepada pesakit buah pinggang menjadi kenyataan setelah usaha digerakkan sejak lima tahun lalu.

NKF atau Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia pula menjadi perunding untuk merawat dan menjalankan proses hemodialisis kepada pesakit yang mana sehingga kini seramai empat pesakit telah pun menerima rawatan di Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman.

Ahli Lembaga Pengarah YBPK, Abdul Ghani Azahan berkata, wang sumbangan pelbagai pihak dan masyarakat yang dikutip pada program ‘Amal Hemodialisis’ pada 2007 sebanyak RM600,000 menjadi asas penubuhan pusat itu yang terletak di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.

“Pusat dialisis ini berjaya ditubuhkan atas sokongan kuat Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan penderma. Pada mulanya kita mahu bina pusat ini di dalam Hospital Kemaman (HK) dan kita berunding dengan Pejabat Daerah Kemaman untuk dapatkan kawasan tetapi selepas itu ia tidak jadi dibina di kawasan hospital.

“Namun, akhirnya kita diberi kebenaran untuk menggunakan bangunan kerajaan di Pantai Teluk Mak Nik yang boleh memuatkan sehingga 15 unit mesin hemodialisis. Tetapi buat waktu ini kita mempunyai 10 unit mesin yang boleh menampung 30 pesakit," katanya pada majlis perasmian pusat itu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said semalam.

Bagaimanapun kata Abdul Ghani, setakat ini Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman baru dibenarkan beroperasi dengan enam mesin hemodialisis selain turut menyediakan tempat rawatan khusus kepada pesakit buah pinggang yang menghidap Hepatitis B dan C.

Sehubungan itu, pesakit buah pinggang seluruh daerah ini dialu-alukan untuk mendapatkan rawatan mencuci buah pinggang di Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman kerana setakat ini perkhidmatan diberikan secara percuma.

Sementara itu, sempena majlis perasmian Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman, pelbagai pameran dan program menarik akan diadakan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman seperti pameran di gerai Hospital Kemaman, Pergigian Kemaman dan Pemeriksaan Kesihatan.


Terengganu teliti permohonan sembilan syarikat bina kilang besi waja

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Kerajaan Terengganu sedang meneliti cadangan sembilan syarikat yang berminat melabur membuka kilang besi waja di negeri itu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak negeri itu kelak.
   
Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said berkata syarikat-syarikat itu ialah dari China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan serta syarikat tempatan.
   
“Kita sekarang dalam proses memilih syarikat yang paling layak. Kita pilih mereka yang ingin melabur dengan jumlah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Buah Pinggang Kemaman di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman semalam.
   
Dato' Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah membuat tawaran mana-mana syarikat yang mahu dapatkan bijih besi yang terbaik dari Terengganu perlu membuka kilangnya di negeri ini.
   
Setakat ini, katanya syarikat besi waja Perwaja Steel Sdn Berhad yang sedang beroperasi di sini, telah membuat tambahan pelaburan RM300 juta lagi dengan memperbesarkan kilangnya  yang mampu menyediakan peluang pekerjaan sehingga 1,000 orang lagi.
   
Syarikat Eastern Steel dari China yang sedang membina kilang di sini melabur sehingga RM1.8 bilion yang mana sekiranya siap sepenuhnya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 2,000 anak negeri itu.
   
“Kita telah menetapkan syarat bahawa mana-mana kilang yang akan beroperasi di Terengganu, hendaklah mengambil 60 peratus pekerja dari anak negeri Terengganu,” katanya.
   
Katanya bijih besi yang ada di Bukit Besi, Dungun masih tidak cukup untuk menampung keperluan kilang yang akan diwujudkan nanti.

“Namun, itu tidak menjadi masalah kerana Terengganu terletak di tengah-tengah antara negeri Pahang dan Kelantan. Mereka boleh dapatkan bijih di Pahang dan Kelantan dengan dicampur bijih terbaik yang terdapat di Bukit Besi (Terengganu) untuk pengeluaran kilang mereka."
   
“Saya yakin, apabila beberapa syarikat besi waja itu beroperasi kelak, peluang pekerjaan bagi anak negeri," kata beliau.



PMINT anjur gotong royong Perdana

Oleh; Esah Abdullah


Memenuhi tanggung jawab sosial dan korporat, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bersama 250 orang warganya turun padang mengadakan gotong royong perdana.

Aktiviti bersama komuniti kampung itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kula Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri di Taman Permin Perdana 1, Kampung Batin, Seberang Takir.
Hadir sama, Pengurus Besarnya, Dato’ Haji Osman Muda.

“Usaha PMINT patut menjadi ikutan jabatan lain dengan menunaikan tanggung jawab sosial masing-masing di samping mendekatkan jabatan dengan rakyat,” katanya.

Katanya, masyarakat juga dapat mengenali fungsi jabatan dengan lebih dekat dan dapat membantu meningkatkan perkhidmatan jabatan pada masa-masa akan datang.

Sebagai gimik perasmian, Dato’ haji Mohd Nasir kemudiannya telah meletak papan tanda nama jalan dan lorong yang terdapat di taman berkenaan.

Beberapa jabatan turut serta memberi sekitar kawasan taman seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan program yang bermula jam 7.45 pagi itu berakhir jam 1.00 petang dengan jamuan makan tengahari.