Kerajaan negeri berusaha mengembalikan kehebatan acara Pesta Pantai Terengganu pada zaman 70-an untuk diselami penduduk masa kini dengan memperkenalkan konsep `melestarikan budaya silam sebagai produk pelancongan’.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada awal 70-an hingga akhir 70-an lalu, sebaik pesawah selesai membanting tulang di sawah, mereka akan berkumpul dan berehat di pondok-pondok yang dibina di tepi pantai Batu Buruk bagi menikmati panorama indah sambil berhibur dengan permainan tradisi.
Katanya, selari dengan peredaran masa, acara yang digerakkan menerusi exco pelancongan itu akan diteruskan semula selepas sekian lama menyepi dengan memperkenalkan kesenian dari seluruh daerah untuk ditatapi penduduk seluruh Terengganu.
“Program ini menjadi satu produk pelancongan negeri yang mampu menggamit kehadiran pelancongan tempatan dan luar negara serta menjadi tulang belakang ekonomi, malah sumber pendapatan kepada negeri dan juga penduduk secara langsung,” katanya ketika merasmikan Pesta Pantai Terengganu, di Dataran Syahbbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus mengeksploitasi kelebihan alam semula jadi yang terdapat di Terengganu serta mewujudkan infra baru berkaitan pelancongan supaya mampu menarik kehadiran pelancong sekaligus menjayakan matlamat Tahun Melawat Terengganu 2013.
“Terengganu mempunyai pantai yang paling panjang sejauh 244 kilometer. Pulau yang cantik, laut membiru dan tasik terbesar, Tasik Kenyir di Kuala Berang.
“Masih banyak yang perlu dieksploitasikan pada masa depan supaya supaya sektor pelancongan terus memangkin kepada sumber ekonomi negeri,” katanya.
Di majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad diarak masuk ke tapak program dengan menaiki beca berhias, diikuti gendang nusantara kesenian Besut dan pelbagai adat kemelayuan lain.
Persembahan perasmian dimulakan dengan Silat Kura-kura dari Hulu Terengganu dan Tarian Selamat Datang.
Perasmian majlis Pesta Pantai Terengganu 2012 yang bermula 25 Mei hingga 3 Jun kemudiannya disusuli dengan tembakan bunga api dalam tempoh 15 minit berlatar belakang pancaran cahaya bunyi.
Selain itu, pesta pantai bakal menjadi medan pertunjukan pelbagai warisan dan permainan tradisi masyarakat negeri ini seperti silat, gasing terbang, dikir barat, selain masakan kuih tradisional dan pembuatan emping ubi.