Halaman

21 May 2012

100 remaja Kampung Apal sertai kayuhan basikal


Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Apal, Jabi, dalam Parlimen Setiu, menganjurkan program kayuhan basikal terbuka kepada remaja dan orang dewasa yang berlangsung di kampung itu semalam.

Program bertujuan menggalakkan komuniti menyertai aktiviti riadah itu turut disertai oleh veteran kampung sebagai tanda sokongan kepada penganjur program.

Pengerusi JKKK Kampung Apal, Mohd Noor Omar berkata, peserta remaja dikehendaki mengayuh basikal sejauh lima kilometer mengelilingi kampung berkenaan secara berkumpulan.

Katanya, menerusi aktiviti riadah itu peserta bukan sahaja mempamerkan semangat kerjasama malah ia dapat mendisiplinkan diri ketika menyertai konvoi berbasikal berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Yang Berhormat Ramlan Ali, melepaskan peserta berbasikal malah paling menarik beliau turut mengayuh basikal bersama peserta veteran.

Ramlan memuji usaha penganjur mengadakan program seumpama itu kerana berjaya mengumpul golongan remaja dan dewan menyertai program berkonsepkan riadah.

Katanya, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program seumpama itu  kerana ia mampu mewujudkan suasana sihat dan meningkatkan semangat kerjasama antara satu sama lain.

“Aktiviti seperti ini amat baik dan patut diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha membentuk generasi sihat dan cergas,” katanya.