Halaman

24 May 2012

Penyu hampa dijinak sang Kijang

Oleh: Aida Abd Rahman

Beraksi dalam keadaan padang basah di tempat lawan, Terengganu yang berusaha bangkit untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan terpaksa tunduk kepada Kelantan dengan keputusan 3-2 untuk mara ke suku akhir pusingan kedua Piala AFC, malam tadi.

Peluang skuad Penyu dinafikan Kelantan dengan perbezaan satu jaringan dalam pertembungan kalah mati selepas perlawanan tertangguh kira-kira 40 minit akibat hujan lebat, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pada separuh masa pertama, Kelantan terlebih dahulu berpesta gol dengan jaringan 3-0 hasil jaringan bekas pemain T-Team berasal dari Wakaf Tapai, Marang, Norfarhan Muhammad pada minit ke-2 dan minit ke-18.

Sementara gol terakhir Kelantan hasil sentuhan Mohd Rizal Fahmi yang menceriakan penyokong tuan rumah Red Warriors pada minit kecederaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Biarpun dibezakan dengan jurang tiga jaringan, anak buah Peter Butler tidak menyerah kalah untuk memberi tentangan sengit pada separuh masa kedua. Akhirnya gol pertama menjelma menerusi pemain tengah, Ismail Faruqi Ashaari pada minit ke-56.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Terengganu menjelmakan gol kedua menerusi sepakan penalti penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe.