Halaman

23 May 2012

SMK Bukit Nenas terima prasarana sukan RM7.4 juta

Oleh FAUZI MOHD

Sekolah Sukan Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas menerima prasana sukan yang bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Antara kemudahan sukan yang diterima SMK Bukit Nenas termasuklah sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.

Selain kemudahan sukan, Rozi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM600,000 setahun kepada pihak sekolah melalui kemudahan biasiswa kepada pelajar.

Menurutnya, bantuan biasiswa bulanan itu mula diagihkan kepada semua pelajar sejak Januari lalu antara RM50 sehingga RM60 sebulan mengikut kecemerlangan mereka sama ada pernah mewakili Sukan Malaysia (Sukma) atau sebaliknya.

“Ini adalah salah satu usaha kita (kerajaan) menghargai mereka yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang sukan seterusnya menjadi atlet negara yang bertaraf dunia.

“Malah dengan adanya kemudahan prasana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan dalam menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Prasarana Sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Ibni Amin Busu, Penolong Pengarah Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri, Roslan Mamat dan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Rosmadi Nasir.

Dalam pada itu, Rozi turut memberi cadangan supaya pihak sekolah dapat menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menentukan hala tuju pembangunan sukan yang melibatkan pihak ibu bapa, jabatan pelajaran, pegawai MSN dan pentadbiran sekolah.

Katanya, jawatankuasa itu berperanan bukan sahaja dalam mengekalkan prestasi sukan malah akademik pelajar ke arah melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu pelajar ini hanya tertumpu kepada kecemerlangan sukan semata-mata, kita mahu mereka itu juga mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran mereka sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan khas bagi membiayai yuran tuisyen pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama (PMR, SPM dan STPM),” katanya.